TheMalaysiaTime

Percepat reformasi atau hilang sokongan pengundi Cina, DAP diberi amaran

2026-03-11 - 23:44

Pengundi Cina semakin tidak berpuas hati dengan DAP, dan ini mungkin memberi kesan besar terhadap parti itu, kata penganalisis. PETALING JAYA: Penguasaan DAP di kerusi bandar dan campuran berisiko melemah akibat rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Cina terhadap reformasi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan yang perlahan, kata penganalisis. Bagaimanapun, pakar sains politik dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat berpendapat daripada mengalih sokongan ke kem lawan, mereka lebih cenderung untuk tidak keluar mengundi pada pilihan raya akan datang. Wong Chin Huat. Wong berkata rasa tidak senang komuniti Cina terhadap DAP semakin memuncak sejak 2023 meskipun keadaan ekonomi secara relatifnya kukuh. “Dalam PRU 2022, ramai pengundi Cina melihatnya sebagai pilihan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT, sambil menambah bahawa sokongan terhadap DAP, sebuah komponen PH, adalah kuat pada ketika itu. Beliau berkata selain janji-janji yang tidak ditunaikan, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pembantu menteri ekonomi Rafizi Ramli, James Chai, juga boleh mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan mereka yang menyifatkan tindakan agensi antirasuah itu sebagai melampau. Wong berkata melainkan mereka melihat pembaharuan yang bermakna, pengundi Cina lebih cenderung untuk tidak mengundi. PRU akan datang mesti diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028, manakala PRN Melaka dan Johor masing-masing mesti diadakan menjelang Februari dan Jun 2027. DAP akan mengadakan kongres khas pada 12 Julai bagi memutuskan sama ada pemimpin parti itu perlu meletak jawatan daripada kedudukan mereka dalam kerajaan perpaduan sambil terus menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim di Parlimen. Kestabilan ekonomi dan kesederhanaan Sivamurugan Pandian. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata penurunan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina akan mengurangkan sokongan terhadap DAP, dan ini boleh membawa kepada persaingan yang lebih sengit di kerusi bandar dan separa bandar. “DAP mungkin masih menang di kubu kuatnya, tetapi majoriti mungkin berkurangan, manakala keputusan di kerusi campuran boleh memihak kepada mana-mana pihak memandangkan pengundi Melayu dijangka keluar mengundi secara besar-besaran,” katanya. Sivamurugan juga menjangkakan parti pembangkang akan menyesuaikan mesej mereka untuk meluaskan daya tarikan kepada pengundi Cina. Bagaimanapun, katanya, corak pengundian sejak PRU 2018 menunjukkan bahawa pengundi Cina cenderung untuk lebih strategik dalam pilihan mereka berbanding menyokong mana-mana parti secara automatik. “Semenjak 2018, mereka menyokong parti yang dilihat sebagai reformis, namun itu tidak bermakna sokongan mereka adalah automatik. Analisis saya ialah pengundi Cina kini lebih mengutamakan kestabilan ekonomi dan kesederhanaan berbanding politik berasaskan etnik.” Pada 7 Mac, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata pengundi, terutamanya daripada komuniti Cina, tidak lagi boleh dianggap sebagai penyokong tetap mana-mana parti politik. Chong merujuk kepada PRN Sabah pada 29 Nov lalu yang menyaksikan DAP tersingkir daripada DUN negeri itu, dengan menyifatkannya sebagai amaran jelas bahawa pengundi akan menghukum mereka yang gagal menunaikan janji. Oh Ei Sun. Oh Ei Sun daripada Pacific Research Center berkata DAP perlu bekerja keras untuk mengekalkan pengundi tradisinya di tengah-tengah kekecewaan mereka terhadap pembaharuan yang perlahan dan ketiadaan penyelesaian kepada isu-isu berlarutan, seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). “Khususnya, mereka perlu meyakinkan penyokong tradisi mereka bahawa mereka tetap komited kepada agenda reformasi dan untuk memastikan layanan yang lebih saksama kepada semua rakyat Malaysia,” tambahnya.

Share this post: