Perang Timur Tengah tambah risiko terhadap industri halal, kata ahli ekonomi
2026-03-23 - 02:51
Negara di Timur Tengah, khasnya negara Teluk merupakan pasaran penting eksport industri halal Malaysia. PETALING JAYA: Ahli ekonomi berkata sektor halal Malaysia berdepan risiko operasi semakin meningkat akibat konflik di Timur Tengah, walaupun ia kekal berdaya tahan kerana mempunyai pasaran eksport pelbagai. Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, konflik itu menjejaskan industri halal global, khasnya melalui gangguan logistik, kos tenaga lebih tinggi dan perubahan sentimen pelabur. Barjoyai Bardai. “Konflik ini lebih kepada kejutan kos dan logistik berbanding kejutan permintaan,” katanya sambil menambah ada sektor tertentu yang lebih terdedah kepada kejutan itu. Pengeluar makanan dan minuman halal, khasnya yang mengendalikan barangan bersaiz besar atau memerlukan kawalan suhu, berdepan kos penghantaran lebih tinggi, masa penghantaran lebih panjang serta perbelanjaan inventori meningkat. Produk berasaskan minyak sawit pula terdedah kerana Timur Tengah merupakan pembeli utama, selain komoditi ini sangat sensitif terhadap pergerakan harga minyak mentah. Produk farmaseutikal dan nutraseutikal halal juga berdepan risiko kerana bergantung kepada gelatin dan kapsul halal import, di mana cabaran mendapatkan sumber serta pensijilan boleh menyebabkan kelewatan dan peningkatan kos. Sebaliknya, perkhidmatan seperti konsultansi dan pensijilan halal kurang terjejas dalam jangka pendek, walaupun aktiviti bergantung kepada perjalanan seperti audit di tapak mungkin berdepan ketidakpastian logistik. Barjoyai mendapati banyak perniagaan mula menyesuaikan diri dengan mempelbagaikan laluan dan syarikat penghantaran, meningkatkan inventori penampan serta mengembangkan pasaran alternatif di Asean, Asia Timur dan negara Islam, termasuk Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Turki. Sebahagian syarikat juga cuba menggunakan penghantaran udara atau pengangkutan multimodal untuk barangan bernilai tinggi dan sensitif masa, walaupun kosnya lebih tinggi. Beliau memberi amaran konflik berterusan boleh menyebabkan kos penghantaran dan insurans kekal tinggi, kesesakan pelabuhan serta jadual penghantaran tidak menentu, sekali gus meningkatkan keperluan modal kerja bagi pengeksport. Kenaikan kos input akibat harga tenaga dan kapasiti tempatan terhad untuk bahan kritikal seperti gelatin, enzim dan bahan tambahan khusus turut membawa risiko. Untuk mengurangkan ancaman ini, Barjoyai mencadangkan langkah dasar dan industri lebih kukuh, termasuk membangunkan kapasiti domestik dalam input halal, memperluas pasaran eksport melepasi destinasi tradisional, mempromosi pengiktirafan bersama pensijilan halal dengan rakan utama serta menyokong penyelesaian logistik multimodal bagi mengurangkan masa penghantaran. Christina Tee. Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia, Christina Tee, berkata perang di Timur Tengah menimbulkan tekanan tidak langsung terhadap industri halal negara dari segi logistik, harga tenaga dan ketidakpastian perdagangan secara keseluruhan. Ketidakstabilan berpanjangan di rantau itu boleh menjejaskan laluan penghantaran, kos insurans dan kadar tambang yang akhirnya menyebabkan peningkatan kos operasi bagi pengeksport. Tegasnya, Timur Tengah, khususnya negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar merupakan pasaran penting bagi pengeksport halal Malaysia. Mereka merupakan pengguna utama produk makanan halal, ramuan dan barangan pengguna sejak sekian lama, selain berperanan sebagai hab pengedaran ke seluruh Timur Tengah dan Afrika Utara. Tetapi, eksport halal Malaysia sudah dipelbagaikan ke seluruh Asean, Asia Selatan, Asia Tengah dan pasaran sedang membangun lain, yang boleh membantu meredakan kesan gangguan geopolitik. “Data eksport terkini menunjukkan pertumbuhan menggalakkan di pasaran baharu seperti Kyrgyzstan dan Uzbekistan,” katanya sambil menambah eksport halal Malaysia bernilai kira-kira RM61.8 bilion pada 2024, meningkat sebanyak 15% berbanding tahun sebelumnya.