TheMalaysiaTime

Penyelarasan BUDI95 sementara, PM harap rakyat memahami

2026-03-26 - 13:20

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mohon memahami penyelarasan sementara BUDI95 terpaksa diambil demi menjaga kepentingan ramai. KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap rakyat memahami langkah penyelarasan sementara kelayakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 Apr. Beliau berkata keputusan tersebut dibuat secara teliti dan berhemah dengan mengambil kira tekanan ekonomi global yang dihadapi negara susulan konflik berterusan di Asia Barat. Anwar menjelaskan langkah penyelarasan itu bersifat sementara sehingga pasaran, bekalan minyak serta ekonomi dunia kembali stabil, namun mengakui setakat ini belum ada tanda-tanda ke arah pemulihan tersebut. “Saya mohon sangat-sangat kerjasama rakyat supaya memahami... dan saya percaya ada yang akan membuat pelbagai tohmahan dan tafsiran yang tidak boleh kita elak. Tapi percayalah, saya tidak mahu rakyat merasa tertekan dan langkah-langkah kita itu sangat teliti dan berhemah. “Jadi saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa diambil menjaga kepentingan ramai. Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat. Saya mohon pengertian dan kerjasama supaya dapat kita teruskan kerja untuk mengelak daripada ketirisan ini,” katanya dalam perutusan khas. Walaupun penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 dilaksanakan, harga BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter. Perdana menteri juga menyeru semua agensi serta jentera kerajaan supaya lebih tegas dan berwaspada dalam melaksanakan penguatkuasaan bagi mengekang sebarang bentuk penyelewengan. “Kita tidak boleh beri subsidi, kemudian melihat ada penyeludupan yang mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan. Oleh itu, amaran keras harus diberikan sekarang dan setiap langkah penyeludupan akan berhadapan dengan seluruh kekuatan jentera kerajaan,” katanya. Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang cakna serta mengambil tanggungjawab dalam melapor di stesen minyak, agensi penguatkuasaan terhadap penipuan atau melalui media sosial tentang penyalahgunaan itu, sama ada oleh orang asing atau orang tempatan. Dalam pada itu, kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel yang dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan bawah pelaksanaan BUDI95 dan BUDI Diesel, susulan peningkatan harga minyak mentah global. Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan konflik berlarutan di Asia Barat beri kesan pada pasaran tenaga global, dengan harga minyak mentah kini melepasi paras USD100 setong, sekali gus meningkatkan beban subsidi negara secara mendadak. Subsidi bagi RON95 dan diesel bagi Januari 2026 adalah sekitar RM0.7 bilion. “Dengan keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasar, beban subsidi terus meningkat. “Berdasarkan harga pasaran dua minggu lalu, ketika harga minyak mentah Brent sekitar USD90 setong, subsidi petrol dan diesel dianggarkan sekitar RM3 bilion sebulan. Kini, dengan harga minyak mentah mencecah USD100 setong, beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan,” menurut kenyataan.

Share this post: