TheMalaysiaTime

Penyanyi kelab bebas tuduhan edar kokain

2026-03-18 - 11:02

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Emily Leo manakala tiga lagi tertuduh diperintahkan membela diri. (Gambar Reuters) KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan penyanyi kelab berusia 29 tahun daripada pertuduhan mengedar kira-kira 400g kokain bersam tiga individu lain pada 2023. Hakim Noor Ruwena Mohd Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Emily Leo pada akhir kes pendakwaan. Dalam penghakiman beliau, Noor Ruwena berkata walaupun pihak pendakwaan menyatakan dadah itu ditemukan di dalam rumah, mahkamah mendapati tiada bukti jelas yang mengaitkan tertuduh dengan bahan tersebut mahupun dia mempunyai kawalan terhadapnya. “Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh ketiga (Emily) manakala tiga lagi tertuduh diperintahkan untuk membela diri,” katanya. Emily yang direman sejak 2023 menangis selepas keputusan itu disampaikan. Wanita itu didakwa bersama-sama tiga lagi individu mengedar kira-kira 400g kokain di sebuah rumah di Brickfields pada 23 Nov 2023. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat, jika sabit kesalahan. Emily diwakili peguam Sivahnanthan Ragava dan Cyrus Tiu Foo Woei manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan.

Share this post: