TheMalaysiaTime

Penuntut pijak al-Quran didakwa esok

2026-03-02 - 09:55

Jabatan Peguam Negara berkata hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan dikemukakan polis mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap suspek. PETALING JAYA: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditahan kerana memijak al-Quran akan didakwa atas dua pertuduhan di mahkamah esok. Dalam kenyataan, Jabatan Peguam Negara berkata hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan dikemukakan polis mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap suspek, S Vikneswaran. Katanya, Vikneswaran akan didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana mencemarkan objek yang dianggap suci iaitu al-Quran, dengan memijaknya, yang mana perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam. “Selain itu, jabatan ini turut memutuskan untuk mendakwanya bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads,” katanya. Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Pada 25 Feb lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran.

Share this post: