TheMalaysiaTime

Penuntut IPTA didakwa pijak al-Quran dibuang universiti

2026-03-24 - 11:20

Pada 3 Mac lalu, S Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Proses tatatertib terhadap kes penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) selesai, baru-baru ini. Naib Canselornya, Yatimah Alias, berkata Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UMPSA yang bersidang pada 9 Mac lalu mendapati penuntut terbabit bersalah. “Berdasarkan tindakan tatatertib, penuntut itu didapati bersalah dan dikenakan hukuman dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-kaedah Universiti Dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib pelajar) 2024. “Kita berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada warga universiti sama ada pelajar atau kakitangan supaya lebih berhati-hati dalam semua perbuatan atau tindakan agar tidak mencemar nama baik universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian. Selain itu, beliau berkata pihaknya bertegas tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan 3R sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam di negara ini,” katanya. Pada 3 Mac lalu, penuntut terbabit, S Vikneswaran, 21, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lalu. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan terbabit.

Share this post: