TheMalaysiaTime

Penjenamaan semula BN bukan pada jumlah kerusi ditandingi, kata pemimpin Umno

2026-03-02 - 07:14

Salleh Said Keruak berkata penjenamaan semula BN tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Idea lama untuk Barisan Nasional (BN) bertanding separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen dilihat tidak relevan di kala parti itu mahu melakukan penjenamaan semula, kata seorang pemimpinnya. Bendahari Umno Sabah Salleh Said Keruak berkata penjenamaan semula diumumkan Setiausaha Agung Zambry Abdul Kadir tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata tetapi mencerminkan perubahan cara berfikir, strategi dan budaya politik. “Idea lama BN mesti bertanding separuh daripada jumlah kerusi sudah tidak lagi relevan. Formula itu lahir daripada era politik dominasi yang berbeza dengan keadaan hari ini. “Politik hari ini berasaskan gabungan, rundingan dan kerjasama strategik. “Kekuatan bukan diukur melalui jumlah kerusi ditandingi, tetapi keupayaan membentuk kerajaan stabil,” katanya di Facebook. Bekas Adun Usukan itu turut menegaskan pengundi juga mahu dasar jelas, hala tuju ekonomi meyakinkan, integriti dan penyelesaian praktikal. “Pendekatan terlalu ideologikal atau konfrontasi sudah tidak lagi menjadi pilihan utama. “Pembaharuan BN mesti menumpukan kepada kredibiliti, kejelasan dasar dan kemampuan bekerjasama,” katany yang menekankan bergerak sendirian bukan strategi sesuai dalam suasana politik semasa. Semalam, Zambry berkata BN melihat keperluan untuk melakukan penjenamaan semula sebagai sebuah gabungan lebih progresif dan inklusif diputuskan pada pemukiman kepimpinannya baru-baru ini. Namun Malaysiakini memetik sumber melaporkan Pengerusi Zahid Hamidi pada sesi itu turut menzahirkan untuk BN bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen pada PRU16 bagi memastikan gabungan itu kembali menerajui kerajaan pusat. BN mengalami kemerosotan sejak beberapa pilihan raya lalu dan terburuk pada PRU15 apabila hanya meraih 30 kerusi Parlimen. Namun BN menjadi sebahagian kerajaan perpaduan yang dibentuk selepas tiada parti mendapat majoriti mudah untuk menjadi pemerintah.

Share this post: