TheMalaysiaTime

Penjawat awam rugi RM160,000 diperdaya skim pelaburan tak wujud

2026-03-20 - 03:50

Ketua Polis Maran Wong Kim Wai berkata mangsa guna wang simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarga serta bank untuk lakukan lapan transaksi ke lima akaun syarikat. PETALING JAYA: Seorang penjawat awam di Pahang rugi lebih RM160,000 selepas terperdaya dengan pelaburan tidak wujud di Facebook. Ketua Polis Maran Wong Kim Wai berkata mangsa pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita di Facebook dan selepas sebulan berkenalan lelaki itu ditawarkan satu peluang pelaburan. “Pada peringkat awal, mangsa menerima pulangan RM2,000 sebelum suspek terus meminta bayaran tambahan termasuk RM57,000 dan RM10,000 dengan pelbagai alasan tanpa sebarang pulangan,” katanya dalam kenyataan menurut Bernama. Katanya, mangsa yang menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarga serta bank melakukan lapan transaksi ke lima akaun syarikat dari 12 Feb hingga 4 Mac. Katanya, sepanjang tempoh itu, mangsa hanya berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan panggilan video selain nombor kad pengenalan diberikan wanita itu disyaki palsu. Wong berkata usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap kenalan dalam talian yang menawarkan pelaburan dengan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Share this post: