TheMalaysiaTime

Penilai bebas sahkan aerotren KLIA berfungsi ikut perancangan

2026-02-02 - 05:46

Malaysia Airports Holdings Bhd berkata operasi aerotren KLIA kekal stabil dengan ketersediaan operasi perkhidmatan mencecah 100% Disember lalu berbanding 98.67% Julai lalu. (Gambar Bernama) SEPANG: Penilai bebas sistem tren mengesahkan aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi mengikut perancangan dan gangguan perkhidmatan pada fasa awal pengoperasian lazim berlaku untuk sistem kompleks. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan penilai mendapati gangguan itu tidak mencetuskan risiko keselamatan dan kawalan kejuruteraan teratur serta pemantauan berterusan dilaksanakan untuk menguruskan isu itu dengan berkesan. “Semasa pelaksanaan pelan tindakan komprehensif (CAP) bermula 15 Nov lepas, operasi aerotren kekal stabil, merekodkan ketersediaan operasi perkhidmatan 100% pada Disember 2025, meningkat daripada 98.67% pada Julai lalu, mencerminkan tahap kebolehsediaan sistem tinggi walaupun aktiviti pemeriksaan, ujian dan pengesahan dijalankan,” katanya dalam kenyataan. Penilaian bebas itu mengenal pasti sistem bekalan kuasa dan kenderaan rel memberi kesan langsung terhadap kebolehpercayaan tren, ketersediaan perkhidmatan serta prestasi pemulihan. Untuk sistem bekalan kuasa, walaupun reka bentuk keseluruhan serta sistem perlindungan didapati mencukupi dan umumnya berfungsi seperti ditetapkan, aspek kualiti pemasangan, pemantauan keadaan kuasa rel serta kejelasan peranan operasi dikenal pasti aspek perlu terus diberikan perhatian bagi mengukuhkan kebolehpercayaan jangka panjang. Bagi kenderaan rel pula, perhatian khusus diberikan kepada peranti pengumpul arus yang mempengaruhi kesinambungan daya tarikan dan kestabilan perkhidmatan kerana interaksinya rapat dengan rel kuasa. Menurutnya, CAP dilaksanakan melalui aliran kerja yang selaras meliputi pemeriksaan dan pembaikan, pengujian dan pengesahan sistem serta operasi percubaan. “Aktiviti pemeriksaan dan pembaikan merentasi sistem aerotren telah diselesaikan dan kini pada tahap akhir menamatkan pembetulan belum selesai, yang dikenal pasti semasa pemeriksaan sistem menyeluruh.” Semasa tempoh CAP, katanya, kerja penyelenggaraan kejuruteraan pada awalnya dijadualkan dari 9 malam hingga 7 pagi dipendekkan kepada 11 malam hingga 7 pagi, mengambil kira musim perayaan dan cuti sekolah. MAHB berkata, langkah CAP selebihnya akan dilaksanakan secara selaras dan bersesuaian, dibantu pemantauan berterusan serta pengawasan bebas untuk mengukuhkan lagi kebolehpercayaan sistem dan memastikan operasi aerotren di KLIA lancar serta konsisten. Pada 16 Dis lalu, MAHB mengumumkan dua penilai bebas, Alstom dan IJMC-Pestech yang menyemak reka bentuk, pemasangan, operasi serta penyelenggaraan Aerotrain dijangka mengemukakan laporan mereka menjelang pertengahan bulan ini.

Share this post: