TheMalaysiaTime

Pengusaha gimnasium sambut baik pengurangan fi lesen tapi kesannya terhad

2026-03-18 - 01:50

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh baru-baru ini berkata kadar fi lesen operasi gimnasium di ibu negara ditetapkan pada RM10 bagi setiap meter persegi berbanding RM50 sebelum ini. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: Pengusaha gimnasium menyambut baik keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengurangkan kadar fi lesen namun berkata penjimatan itu terlalu kecil untuk mempengaruhi harga atau keuntungan perniagaan. Marie, pengasas KOA Fitness, menyifatkan langkah itu sebagai satu perkembangan positif selepas bertahun-tahun gimnasium terpaksa membayar kadar fi jauh lebih tinggi berbanding banyak perniagaan lain. Beliau berkata kadar sebelum ini adalah antara 10 hingga 15 kali lebih tinggi daripada apa yang dibayar oleh banyak perniagaan lain. “Sedangkan gimnasium sebenarnya mempromosikan kesihatan awam, jadi perkara itu sentiasa terasa agak bertentangan,” katanya kepada FMT. Marie berkata premisnya sebelum ini membayar kira-kira RM4,500 setahun untuk fi lesen dan pengurangan itu akan menghasilkan penjimatan sekitar RM3,000 setahun. “Jika dipecahkan, penjimatan itu kurang daripada RM300 sebulan,” katanya. Bagaimanapun, Marie berkata pengurangan itu tidak mungkin membawa kepada penurunan harga keahlian kerana fi lesen hanyalah sebahagian kecil daripada kos operasi. “Hakikatnya, fi lesen hanya satu komponen kecil dalam mengendalikan gimnasium. Kos terbesar masih sewa, pembiayaan peralatan, gaji kakitangan, utiliti dan penyelenggaraan,” katanya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh baru-baru ini berkata kadar fi lesen operasi gimnasium di ibu negara ditetapkan pada RM10 bagi setiap meter persegi berbanding RM50 sebelum ini. Yeoh berkata langkah itu dibuat hasil libat urus dengan pemain industri, termasuk Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia (PPGM) selain merujuk data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023yang menunjukkan 32.6% orang dewasa Malaysia mempunyai berat badan berlebihan manakala 21.8% mengalami obesiti. Sara Suhaili, pengasas bersama Good Juju Barbell Club, turut menyambut baik langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘satu langkah yang dialu-alukan dan sepatutnya sudah lama dilakukan’. . Namun katanya, perubahan itu tidak mungkin memberi kesan di premisnya kerana ia beroperasi menggunakan model sesi dan pakej, bukannya keahlian bulanan. “Pelanggan kami membeli pakej untuk latihan peribadi, kelas berkumpulan atau sesi fisioterapi. Tiada yuran bulanan untuk diberi diskaun kerana itu bukan struktur kami,” katanya. Sara berkata fi lesen tidak pernah menjadi komponen kos utama bagi perniagaan tersebut. “Pengurangan 80% itu memang dihargai, tetapi dari segi sebenar ia hanya menjimatkan beberapa ratus ringgit setahun. Ia tidak akan mengubah cara kami beroperasi atau apa yang kami kenakan kepada pelanggan,” katanya. Beliau menambah bahawa kadar fi yang lebih rendah mungkin membantu pengusaha kecil atau gimnasium baharu memasuki pasaran serta menggalakkan lebih banyak gim mendapatkan lesen.

Share this post: