TheMalaysiaTime

Pengundi Cina tak setia mana-mana parti lagi, kata MCA

2026-03-07 - 06:04

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata rasa tidak puas hati orang ramai terhadap DAP semakin meningkat, tetapi memberi amaran ia tidak bermakna pengundi akan sokong MCA secara automatik. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Pengundi, khasnya kaum Cina, tidak lagi boleh dianggap penyokong tetap mana-mana parti politik, kata Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon. Beliau berkata, PRN Sabah tahun lalu menjadi amaran jelas pengundi tidak akan teragak-agak menghukum parti gagal menunaikan janji mereka. “Sokongan pengundi, terutamanya masyarakat Cina, tidak lagi boleh dipandang remeh mana-mana parti. “Jika janji dibuat, tetapi tidak ditunaikan, pengundi pasti akan memberi pengajaran,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-77 parti itu. Menurutnya, rasa tidak puas hati orang ramai terhadap DAP semakin jelas dalam perbualan seharian dan di media sosial. Tetapi, Chong mengingatkan rasa tidak puas hati terhadap DAP tidak bermakna mereka akan menyokong MCA secara automatik. Menjelang PRN Melaka dan Johor serta PRU16, beliau berkata, MCA perlu menunjukkan komitmen penuh untuk memenangi kembali sokongan pengundi melalui khidmat ikhlas dan usaha proaktif. Jelasnya, parti itu perlu berusaha memastikan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan semasa akhirnya boleh diterjemahkan kepada sokongan terhadap MCA, tetapi ia tidak patut bergantung sepenuhnya kepada kelemahan orang lain. “Sebaliknya, kita perlu mengambil inisiatif, meraih kembali sokongan setiap pengundi dan benar-benar menjadi kuasa yang mendapat kepercayaan dan dipilih masyarakat Cina.”

Share this post: