Penghantar barang dijel 4 bulan cederakan isteri hamil
2026-03-26 - 08:51
Muhammad Aidil Azahar Rahmat dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Seorang penghantar barang dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah terhadap dua tuduhan mencederakan isterinya yang hamil. Berita Harian melaporkan Muhammad Aidil Azahar Rahmat, 22, membuat pengakuan itu di depan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin. Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nur Azhiimah Abd Razak, 20, dengan menumbuk belakang kepala mangsa. Mengikut pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan sama dengan menampar muka, memukul kepala dan menolak isterinya sehingga jatuh di dalam serta kaki lima sebuah premis di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar 1, Melaka kira-kira 3.59 hingga 4.06 pagi 15 Mac lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 19 Mac lalu. Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman setimpal kerana sebagai suami, dia sepatutnya melindungi mangsa, selain mengambil kira kecederaan dialami mangsa yang sedang mengandung anak tertuduh. Mengikut fakta kes, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit dan laporan polis dibuat ibu mangsa selepas melihat rakaman berkenaan, di mana tertuduh didapati memukul, melempang, menarik rambut dan melanggar kepala mangsa sedang terbaring dengan motosikal di depan premis. Mangsa yang dirawat di Hospital Melaka disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kepala dan pipi kanan.