TheMalaysiaTime

Pengguna media sosial didapati bertanggungjawab fitnah Saifuddin

2026-03-16 - 09:24

Setiausaha Agung PH Safiuddin Nasution Ismail dakwa penguna media sosial, Zubair Ismail guna saluran TikTok dan Facebook untuk mencemarkan nama baiknya. PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi di Alor Setar memutuskan seorang pengguna media sosial bertanggungjawab memfitnah Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail, selepas dia gagal hadir ke mahkamah. Peguam Saifuddin, SN Nair, berkata penghakiman ingkar telah diperoleh, dengan perintah dikeluarkan pada minggu lepas. Nair berkata perintah itu dibenarkan oleh Hakim Johan Lee pada 8 Dise tahun lepas, susulan permohonan Saifuddin bersama afidavit sokongan. “Tuntutan plaintif untuk ganti rugi am, ganti rugi melampau, dan ganti rugi teladan adalah dibenarkan, tertakluk kepada taksiran oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan. Nair menambah bahawa tarikh pendengaran akan ditetapkan kemudian untuk menentukan jumlah ganti rugi. Dalam saman yang difailkan pada Mei tahun lalu, Saifuddin mendakwa Zubair Ismail, yang menggunakan nama ‘Tam Jebat’ di media sosial, menggunakan TikTok dan Facebook miliknya untuk mencemarkan nama baiknya. Saifuddin mendakwa, Zubair menuduhnya mendalangi serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Persatuan Bola Sepak Kedah tahun lalu, antara lain dalam tiga catatan Facebook dan video TikTok. Saifuddin yang juga menteri dalam negeri berkata, kenyataan itu palsu, berniat jahat, memfitnah, dan cuba menggambarkannya sebagai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa dan tidak cukup bermoral untuk menjadi penjawat awam. Beliau berkata, kenyataan itu menjejaskan reputasi, integriti dan kerjaya politiknya, menyebabkan beliau dicemuh dan diganggu dalam talian. Saifuddin berkata, salah satu hantaran yang menyinggung perasaan itu termasuk gambar dengan keterangan ‘Pokka hantaq SPRM LHDN mai serbu kelab bola Kedah. Berselerak habis sponsor’. Katanya, kenyataan itu jelas merujuk kepadanya, dan secara salah mencadangkan bahawa beliau menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri. Satu lagi hantaran Zubair di TikTok, yang ditonton lebih 65,000 kali, didakwa mengejek Saifuddin kerana memberikan sumbangan RM200,000 sekali beri kepada pemain bola sepak sempena Aidilfitri. Zubair mendakwa, tindakan itu hanya untuk menunjuk-nunjuk, berbanding bantuan bulanan diberikan oleh Menteri Besar Kedah Sanusi Nor. Saifuddin berkata, video itu juga secara palsu membayangkan beliau bertindak biadab dengan tidak melibatkan pemilik kelab ketika memberi sumbangan. Beliau juga mendapati Zubair memfitnahnya dengan mengaitkannya dengan ‘penyamun kaki sakau’ dan mencadangkan bahawa beliau memfitnah menteri besar Kedah atas dakwaan kecurian nadir bumi dan dana penyelenggaraan jalan. Saifuddin berkata, Zubair membuat dakwaan palsu dan tidak berasas dengan niat jahat, dan tidak memohon maaf walaupun diberi peluang berbuat demikian pada 4 April lalu.

Share this post: