TheMalaysiaTime

Pengasuh didakwa bunuh bayi 4 bulan di pusat asuhan

2026-03-19 - 03:20

Tertuduh Nur Farhana Fazmar Abdullah didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan membunuh Hayl Haarith Mohd Syafaeez di sebuah pusat asuhan pada awal bulan ini. (Gambar fail) PETALING JAYA: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan membunuh seorang bayi lelaki empat bulan di sebuah pusat asuhan dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), awal bulan ini. Tertuduh, Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro. Mengikut pertuduhan, Nur Farhana didakwa melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian bayi itu di Taska Pintar HSJ antara 1 pagi hingga 4 pagi pada 9 Mac lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memeruntukan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim. Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia. Sementara itu, seorang lagi rakan sekerja tertuduh yang sebelum ini direman, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan akan bertindak sebagai saksi pendakwaan. Dalam kejadian pada 9 Mac itu, mangsa Hayl Haarith Mohd Syafaeez disahkan meninggal dunia pada 4.20 pagi selepas dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSJ dalam keadaan tidak sedarkan diri. Difahamkan doktor melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira sejam sebelum mangsa meninggal dunia. Bayi itu dihantar ke pusat asuhan yang beroperasi 24 jam oleh ibunya, seorang jururawat yang bertugas syif malam. Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata, bedah siasat mendapati punca kematian bayi itu adalah akibat lemas.

Share this post: