Pengarah spa lelaki didakwa benar aktiviti tak bermoral
2026-03-17 - 09:54
Keempat-empat lelaki itu didakwa di tiga Mahkamah Majistret berasingan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR: Dua pengarah sebuah spa lelaki, Otot2, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membenarkan aktiviti tidak bermoral di premis berkenaan pada tahun lalu, manakala seorang pekerja dan dua pelanggan turut didakwa. Kedua-dua pengarah tersebut, yang berusia 59 dan 70 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama membenarkan aktiviti tidak bermoral di dalam premis selain aktiviti perniagaan yang dinyatakan dalam lesen. Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret S Arunjothy, kesalahan itu didakwa dilakukan di Positive Leader Sdn Bhd, yang juga dikenali sebagai Otot2, di Chow Kit, kira-kira 8 malam pada 28 Nov tahun lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 20(1)(c) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 38 akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berterusan boleh dikenakan denda sehingga RM200. Di mahkamah yang sama, seorang pekerja spa berusia 63 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya di IPD Dang Wangi pada 11.15 pagi, 30 Nov tahun lalu. Di mahkamah berasingan, seorang pelanggan berusia 44 tahun mengaku tak bersalah di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Halim atas tuduhan memiliki gambar dan video lucah dalam telefon pintar di lokasi dan tarikh serta masa sama. Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Di sebuah lagi mahkamah, seorang pelanggan berusia 19 tahun didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau iaitu meraba bahagian dada dan paha seorang lelaki yang perbuatan itu dilihat dua anggota polis kira-kira 8 malam pada 28 Nov tahun lalu. Dia dakwa di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan buat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan. Mahkamah membenarkan jaminan masing-masing RM2,000 dengan seorang penjamin untuk dua pengarah itu, RM3,800 untuk pekerja spa, RM4,000 untuk pelanggan berusia 44 tahun, dan RM2,800 untuk pelanggan berusia 19 tahun. Mahkamah menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes bagi pengarah dan pekerja spa itu serta 9 Jun bagi tertuduh berusia 44 tahun dan 24 April bagi tertuduh berusia 19 tahun. Peguam Zaid Malek, Mahajoth Singh, Reenajir Kaur Golen, Raqib B Osman dan S Jeichendran mewakili tertuduh, manakala Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani, Syafika Azwa Fikri dan Vivi’ Asnita Zaina’ Larifin mewakili pendakwaan.