Penganalisis cadang PN pilih calon PM melalui undi dalaman
2026-03-06 - 01:43
Polemik calon perdana menteri hanya akan melahirkan retak dalaman dan menghakis kredibiliti PN, menurut penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Seorang penganalisis mencadangkan Perikatan Nasional (PN) menentukan calon perdana menteri melalui undi dalaman bagi mengelakkan perdebatan secara terbuka yang berlaku kini. Zaharuddin Sani Ahmad Sabri. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri turut mencadangkan pemilihan dibuat membabitkan enam tokoh yang dipilih berdasarkan hierarki iaitu Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang. Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali. Penganalisis dari Global Asia Consulting itu berkata perlu ada kesepakatan supaya pemilihan dibuat selepas PRU16 selepas kesemuanya disahkan menang kerusi Parlimen masing-masing, begitu PN mendapat mandat rakyat. “Dengan pengundian dalaman, PN dapat membuktikan disiplin kolektif dalam menentukan kepimpinan. “Jika dibiarkan perebutan ini hanya akan melahirkan retak dalaman dan menghakis kredibiliti PN sebagai blok alternatif,” katanya kepada FMT. Isu calon perdana menteri kembali menghantui PN susulan pelantikan Samsuri sebagai pengerusi gabungan itu yang menggantikan Muhyiddin. Muhyiddin dilaporkan media berkata pelantikan Samsuri sebagai pengerusi PN tidak bermakna beliau secara automatik akan menjadi calon perdana menteri gabungan itu. Samsuri dalam hantaran di Facebook semalam dipetik berkata seperti dirinya Muhyiddin juga bukan lagi calon perdana menteri. Menteri Besar Terengganu itu turut menjelaskan siapa sahaja calon perdana menteri bukan keutamaan buat masa ini kerana gabungan berkenaaan perlu menumpukan persediaan menghadapi pilihan raya. Setakat ini, Bersatu telah memutuskan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 dengan meluluskan usul terbabit pada Perhimpunan Agung Tahuna (PAT), September tahun lalu. Azmi Hassan. Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata proses pemilihan calon perdana menteri atau poster boy PN sepatutnya dipermudahkan dengan mengangkat secara automatik pengerusi gabungan itu. “Agak pelik jika pengerusi sebuah gabungan parti politik bukan material perdana menteri. “Biasanya pengerusi itu juga ‘poster boy’ bagi gabungan,” katanya yang bagaimanapun menjelaskan perdebatan itu mungkin kerana pengalaman Samsuri yang mungkin terhad di Terengganu sebagai menteri besar. “Saya lihat pelantikan ini lebih kepada meredakan kemelut PN khususnya antara Bersatu dan PAS,” katanya.