Penerbangan bawa pulang rakyat Perancis patah balik akibat tembakan roket
2026-03-06 - 06:13
Air France berkata penerbangan membawa pulang rakyat Perancis dari Timur Tengah digantung demi keselamatan pelanggan dan anak kapalnya. (Gambar Wikipedia) PARIS: Satu penerbangan Air France yang berlepas ke Dubai untuk membawa pulang rakyat Perancis terkandas terpaksa berpatah balik akibat tembakan roket di rantau Timur Tengah, lapor Agensi Berita Jerman. “Situasi ini menunjukkan ketidakstabilan di rantau itu serta kerumitan usaha repatriasi,” kata Menteri Pengangkutan Perancis, Philippe Tabarot pada Khamis. Kerajaan menyewa pesawat itu untuk membawa rakyat Perancis pulang ke Paris. “Kami sedar hak rakyat kami di lapangan, namun kepulangan mereka hanya boleh diusahakan dalam keadaan keselamatan terjamin.” Air France sebelum itu mengumumkan penerbangan itu pada sebelah petang, yang dirancang dengan kerjasama Kementerian Luar. “Disebabkan situasi keselamatan semasa di destinasi, penerbangan repatriasi ini digantung. Keselamatan pelanggan dan anak kapal kami adalah keutamaan,” kata Air France beberapa jam kemudian. Menteri Luar Perancis, Jean‐Noel Barrot, dalam wawancara dengan stesen penyiar TF1 berkata, kira-kira 5,000 rakyat Perancis ingin meninggalkan rantau Timur Tengah. Daripada jumlah itu, 750 orang sudah dibawa pulang. Penerbangan membawa pulang rakyat Perancis dari kawasan konflik itu adalah yang keempat dan tiba di bandar Orleans pada Khamis.