TheMalaysiaTime

Pendirian ‘tak konsisten’ Umno terhadap DAP beri harapan kepada PAS di Johor

2026-03-25 - 23:41

Komposisi masyarakat berbilang kaum di Johor memberi kelebihan besar kepada Umno berbanding PAS, yang pengaruhnya lebih tertumpu di negeri utara dengan majoriti pengundi Melayu, kata penganalisis. PETALING JAYA: PAS mendakwa boleh memanfaatkan pendirian Umno yang dilihat bercanggah terhadap DAP, dengan menyatakan ketidakkonsistenan itu akan meningkatkan peluangya pada PRN Johor yang dijangka selewat-lewatnya pertengahan 2027. Walaupun hanya memiliki satu kerusi di DUN iaitu Maharani yang dipegang Abdul Aziz Talib, Timbalan Pesuruhjayanya Mazri Yahya menyuarakan keyakinan sentimen pengundi pada PRN ke-16 akan memihak kepada parti itu. “Pada PRN lalu Umno bergerak bersendirian tetap dalam PRU15 mereka membawa slogan ‘No Anwar, No DAP’. Namun selepas pilihan raya, Umno memilih untuk bersama DAP. “Rakyat kini melihat dengan lebih jelas soal konsistensi dan prinsip dalam politik (Umno-BN),” katanya kepada FMT sambil menambah jentera parti yang kukuh akan membantu PAS mempertahankan kerusi Maharani serta menambah kerusi lain. Pada PRN Johor lalu, Barisan Nasional (BN) diketuai Umno memenangi 40 daripada 56 kerusi, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12, Perikatan Nasional (PN) tiga, manakala Muda satu. Gelombang hijau terhenti di utara Namun, penganalisis berpendapat cita-cita PAS Johor itu mungkin tidak berpijak di bumi nyata, dengan landskap masyarakat berbilang kaum di negeri itu menjadi cabaran utama. Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata PAS dijangka sukar mencatat prestasi baik pada PRN akan datang sekiranya BN dan PH mengekalkan kerjasama sedia ada. “Kerjasama BN dan PH membolehkan mereka menarik sokongan pengundi yang lebih luas melalui strategi pilihan raya dan perbezaan ideologi masing-masing,” katanya sambil menambah PAS mempunyai ‘peluang tipis’ untuk memberi impak. Menurutnya, Johor sejak sekian lama dianggap kubu kuat BN dengan asas pengundi lebih pelbagai berbanding negeri seperti Kedah dan Perlis yang menjadi kubu PAS, di mana kawasan majoriti Melayu memainkan peranan besar dalam kejayaan parti itu. Lau turut menegaskan kekuatan PAS masih tertumpu di kawasan teras Melayu di utara Semenanjung. Katanya, ‘gelombang hijau’ — istilah yang merujuk kepada peningkatan besar sokongan terhadap PAS pada PRU2018 dan 2022 — tidak dijangka merebak ke selatan. “Gelombang hijau banyak tertumpu di negeri-negeri Melayu seperti Kedah dan Perlis. “Johor, Melaka dan Negeri Sembilan berbeza kerana komposisi masyarakatnya pelbagai, jadi PAS sukar mencatatkan peningkatan ketara,” katanya. Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PAS menyedari sasaran mereka di Johor mungkin terlalu optimistik. “PAS tidak mempunyai asas sokongan yang kuat di Johor. Walaupun BN lemah, PAS masih sukar menambah kerusi disebabkan sokongan terhad dan komposisi pengundi yang pelbagai,” katanya. Menurutnya, pencapaian terbaik yang boleh diharapkan PAS ialah mempertahankan kerusi Maharani dan mungkin menambah satu lagi kerusi. Azmi turut berkata PAS berdepan kesukaran di kawasan campuran di Johor, di mana Amanah — parti lebih sederhana dalam PH — secara tradisinya mendapat sokongan baik, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu-Muslim.

Share this post: