Pendedahan ekonomi Malaysia kepada konflik Timur Tengah minimum, kata Sim
2026-03-06 - 05:53
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata jumlah dagangan dengan Iran tahun lalu sebanyak RM2.45 bilion, kurang 0.1% daripada keseluruhan dagangan Malaysia. KUALA LUMPUR: Pendedahan ekonomi Malaysia kepada konflik Timur Tengah “sangat minimum”, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin. Jelasnya, jumlah dagangan dengan Iran hanya menyumbang 0.09% daripada keseluruhan dagangan Malaysia kerana Putrajaya mematuhi sekatan dikenakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menjalankan perdagangan dengan Tehran. Menurutnya, pendedahan dalam perdagangan gas asli cecair (LNG) dengan Iran juga sangat terhad kerana Malaysia menghasilkan minyak dan gas asli sendiri. “Dagangan dengan Iran hanya 0.09% daripada keseluruhan dagangan Malaysia. LNG bukan antara lima produk dagangan utama. Kami mematuhi sekatan PBB, jadi kami hanya berdagang makanan dan komoditi dibenarkan. “Dari segi LNG, pendedahan kita sangat sedikit kerana Malaysia merupakan pengeluar minyak dan LNG. Oleh itu, pendedahan Malaysia kepada konflik Timur Tengah sangat minimum,” katanya dalam sidang akhbar di sini. Beliau berkata, jumlah dagangan Malaysia dengan Iran tahun lalu sebanyak RM2.45 bilion, sebahagian besarnya daripada eksport berjumlah RM2.17 bilion. Konflik di Timur Tengah semakin memuncak sejak serangan awal Amerika Syarikat dan Israel, dengan Iran melepaskan peluru berpandu ke pangkalan AS di rantau itu, bandar utama Israel dan kapal tangki minyak dikaitkan dengan negara Barat. Kuasa serantau, termasuk Emiriah Arab Bersatu menyeru ketegangan dikurangkan, tetapi risiko perang lebih meluas masih tinggi. Dalam perkembangan lain, Sim berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani akan mengadakan mesyuarat video dengan Rick Switzer, timbalan wakil perdagangan AS pada 10 Mac ini. Mesyuarat itu akan membincangkan keputusan Mahkamah Agung AS berhubung tarif unilateral dikenakan Presiden AS, Donald Trump, perjanjian perdagangan timbal balik yang dimeterai tahun lalu dan tarif baharu diumumkan Trump selepas mahkamah membatalkan tarif terdahulu.