TheMalaysiaTime

Pemuda PAS mahu Halim Tamuri ganti Azmin ketuai PN Selangor

2026-03-08 - 13:33

Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri dicadang sayap Pemuda negeri sebagai calon terbaik mengetuai PN Selangor. KUALA SELANGOR: Pemuda PAS Selangor mahu parti itu menerajui Perikatan Nasional (PN) negeri sambil menamakan pesuruhjaya negeri, Ab Halim Tamuri menggantikan Azmin Ali sebagai pengerusi. Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar mengemukakan cadangan itu dengan menegaskan PN perlu diberi nafas baharu dalam kepimpinan negeri. “Saya lihat yang berhormat Abdul Halim Tamuri sebagai figura terbaik memimpin PN di Selangor dan membawa nafas perubahan baharu. Saya yakin bersama beliau pasukan yang kuat dan hebat serta berpengalaman dalam mentadbir Selangor. “Kita ada Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib yang juga pernah menjadi exco, ertinya dengan gabung jalin pengalaman dan kekuatan yang ada pada PAS ini kita boleh menterjemahkannya dalam kepimpinan Selangor,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Selangor dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Annuar Musa. Namun, beliau akur dan menghormati keputusan muktamad yang akan diputuskan pucuk pimpinan, jika parti terus memberi mandat kepada Bersatu menerajui kepimpinan. “Kita bersedia menerima apa sahaja keputusan di peringkat pusat, namun Pemuda saat ini berpandangan mesti PAS mengemudi PN di Selangor,” katanya. Beliau juga menyatakan kesediaan memantapkan kerjasama bersama rakan-rakan dalam PN termasuk sayap Pemuda Bersatu bagi menawan pentadbiran negeri Selangor. “Kita masih menanti pelantikan pengerusi baharu PN negeri dan insya-Allah setelah selesai pelantikan pengerusi di Selangor kita akan terus fokus bergerak kerja untuk pilihan raya,” katanya. Pada 30 Dis lalu, Azmin umum peletakan jawatan sebagai setiausaha agung dan pengerusi PN Selangor selepas Muhyiddin Yassin berundur sebagai pengerusi gabungan.

Share this post: