TheMalaysiaTime

Pemuda Gagasan Rakyat gesa Putrajaya bayar sebahagian 40% hasil Sabah

2026-03-07 - 12:54

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, kata pelaksanaan perintah mahkamah berkait hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan wajar dizahirkan melalui komitmen serta iktikad baik. PETALING JAYA: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menggesa kerajaan persekutuan memulakan pembayaran sebahagian dana berkaitan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan dari negeri itu, berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada. Pemangku ketua, Azrul Ibrahim, mengumumkan perkara tersebut susulan dakwaan kerajaan persekutuan memohon untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kinabalu. Dokumen dikatakan notis usul mengenai perkara itu ditularkan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, sejak kelmarin, menurut laporan media. Pemuda Gagasan Rakyat hari ini berkata menangguhkan pelaksanaan bukan keputusan paling wajar ketika ini. “Langkah lebih meyakinkan ialah memulakan pembayaran sebahagian dana berkaitan berdasarkan kapasiti kewangan sedia ada, sementara perincian jumlah sebenar serta formula pengiraan dimuktamadkan dalam tempoh rundingan yang ditetapkan,” kata Azrul lapor laman InfoTawau di Facebook. Pada 17 Okt tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad. Mahkamah mengeluarkan perintah mandamus yang memerintahkan kerajaan persekutuan menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan serta bersetuju dengan hak 40% Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari. Mesyuarat pertama jawatankuasa rundingan pemberian khas peringkat pegawai diadakan pada 17 Nov tahun lalu, menumpukan kajian semula nilai pemberian khas Sabah, dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong bagi pihak kerajaan Sabah, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican mewakili kerajaan persekutuan. Perbincangan lanjut dijadualkan pada 28 Jan, menurut laporan media. Pemuda Gagasan Rakyat berkata pelaksanaan wajar dizahirkan melalui komitmen serta iktikad baik. “Sebarang penangguhan hanya akan menambahkan keresahan serta meningkatkan sentimen rakyat Sabah yang sudah lama menantikan penyelesaian adil terhadap hak negeri ini,” kata Azrul. Pada masa sama, beliau menegaskan isu ini tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri tidak serius dalam menuntut hak Sabah.

Share this post: