TheMalaysiaTime

Pemuda DAP pertikai cara SPRM kesan bekas pembantu Rafizi

2026-03-05 - 00:54

Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong berkata usaha anti rasuah mesti sentiasa disokong oleh profesionalisme, proses wajar dan menghormati kebebasan awam. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Pemuda DAP menyatakan kebimbangan terhadap cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuba mengesan James Chai, bekas pembantu Rafizi Ramli, bagi membantu siasatan. Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, berkata tindakan SPRM berisiko mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia memberi gambaran kuasa penguatkuasaan boleh digunakan secara menakut-nakutkan. Woo menambah bahawa Chai, seorang felo pelawat di badan pemikir Singapura ISEAS-Yusof Ishak Institute, bukanlah seorang ahli perniagaan dalam buruan seperti Low Taek Jho, mahupun ahli perniagaan berpengaruh yang berdepan tuduhan rasuah. “Sehubungan itu, menjalankan siasatan berprofil tinggi terhadap individu tersebut kelihatan tidak seimbang dan tidak perlu. “Walaupun Pemuda DAP menyokong penuh usaha memerangi rasuah dan mempertahankan kebebasan institusi penguatkuasaan, usaha sedemikian mesti sentiasa berteraskan profesionalisme, proses yang adil dan penghormatan terhadap kebebasan sivil. “Rakyat sedang memerhati dengan teliti, justeru SPRM tidak boleh terlibat dalam pemburuan politik terhadap seorang rakyat biasa,” kata Woo yang juga Exco Perak dalam satu kenyataan. Adun Pasir Bedamar itu turut berkata siasatan yang dijalankan secara menakut-nakutkan akan menghakis keyakinan awam terhadap institusi seperti SPRM. Beliau berkata kerajaan kemudiannya akan menanggung akibat politik daripada rakyat Malaysia. Semalam, SPRM mengeluarkan notis pencarian awam untuk mengesan Chai, yang merupakan pegawai khas kepada Rafizi dan kini bekerja di United Kingdom. Chai mengkritik notis tersebut yang memaparkan alamat rumah keluarganya, dengan menyifatkannya sebagai keterlaluan dan seolah-olah bertujuan menggambarkannya sebagai seorang buruan yang mempunyai sesuatu untuk disembunyikan. Beliau juga berkata pegawai agensi itu boleh menghubunginya melalui rakan-rakan atau bekas rakan sekerjanya dalam kerajaan sekiranya benar-benar tidak dapat mengesannya. Bagaimanapun, SPRM menyatakan pegawai penyiasatnya telah membuat beberapa percubaan untuk menghubunginya sebelum notis tersebut dikeluarkan, malah seorang pegawai telah disekat di WhatsApp oleh nombor telefon Chai pada 26 Feb. Agensi itu juga berkata cubaan menggambarkan prosedur siasatan biasa sebagai tindakan penganiayaan adalah tidak wajar dan Chai sepatutnya memberi kerjasama kepada siasatan sekiranya beliau tiada apa-apa untuk disembunyikan.

Share this post: