Pemimpin PAS selar kerajaan ‘sambil lewa’ punca RUU had tempoh PM gagal
2026-03-03 - 05:43
Ahmad Fadhli Shaari berkata pendekatan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ini dilihat jauh berbeza kerana tidak mengutamakan musyawarah rentas parti. PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS menyelar sikap kerajaan yang dianggap sambil lewa sehingga menyebabkan rang undang-undang (RUU) berkaitan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri gagal diluluskan di Dewan Rakyat, semalam. Ahmad Fadhli Shaari turut membandingkan kegagalan kerajaan hari ini dengan pendekatan diambil Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengendalikan pindaan Undi18 pada 2019. “Sepatutnya kerajaan dalam keadaan tidak ada dua pertiga majoriti, bila nak bentang pindaan perlembagaan seperti ini, buat rundingan elok-elok dengan pembangkang kerana pembangkang pun ada suara dalam Parlimen. “Saya masih ingat bagaimana YB Syed Saddiq jumpa dengan pemimpin-pemimpin muda di dalam parti-parti politik, buat ‘engagement’ untuk memastikan RUU ini berjaya diluluskan. “Hasil libat urus itu, akhirnya pindaan perlembagaan berjaya diluluskan secara sebulat suara,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas dalam video dimuat naik di Facebook. Pada 19 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun. Mengulas lanjut, Fadhli berkata pendekatan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ini dilihat jauh berbeza kerana tidak mengutamakan musyawarah rentas parti bagi isu elibatkan perlembagaan. Fadhli mendakwa, kerajaan seolah-olah tidak serius dan sekadar mahu menunjukkan ‘prestasi’ di atas kertas, sambil memetik contoh kejayaan pindaan Perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang berjaya diluluskan sebulat suara hasil rundingan terperinci antara parti politik terlebih dahulu. “Tapi pada zaman Anwar ini, pindaan perlembagaan tidak dibawa kepada rundingan. Akibat tidak ada rundingan dan sesi libat urus yang sepatutnya, akhirnya banyak perkara tidak jelas dan pembangkang mengambil sikap untuk berkecuali,” katanya. Pindaan perlembagaan itu yang dibentangkan sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026, mahu mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, dan terpakai ke atas bekas perdana menteri, jika diluluskan Parlimen. Di sebalik sokongan pelbagai pihak, Dewan Rakyat bagaimanapun menyaksikan 44 wakil rakyat tidak mengundi manakala 32 lagi tidak hadir. RUU itu memerlukan sekurang-kurangnya 148 ahli Dewan Rakyat menyokong daripada 222 orang, namun menyaksikan ia kekurangan dua undi.