TheMalaysiaTime

Pemimpin Melayu DAP kecam hina Al-Quran

2026-03-11 - 13:54

Syahredzan Johan, Young Syefura Othman, dan Sheikh Omar Bagharib Ali mahu tindakan tegas terhadap individu menghina agama. PETALING JAYA: Pemimpin Melayu DAP mengutuk dan mengecam penghinaan agama, dan menggesa pihak berkuasa menyiasat individu didakwa menghina Al-Quran, baru-baru ini. Naib Pengerusi Syahredzan Johan mahu segala sumber kerajaan dan sepenuh kekuatan undang-undang digerakkan untuk menangani penghinaan agama dan provokasi kaum secara tuntas. “Insiden penghinaan agama, walau agama apa sekalipun, boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama,” katanya di Facebook. “Jika tidak ditangani dengan tegas, ia boleh membarah menjadi konflik.” Dalam kenyataan berasingan, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan Young Syefura Othman berkata perbuatan amat biadab, tidak bertanggungjawab, dan provokatif itu merupakan serangan terhadap keharmonian kaum dan kestabilan sosial. “Pelaku mesti dihadapkan ke muka pengadilan tanpa kompromi bagi memberikan isyarat jelas bahawa penghinaan terhadap mana-mana agama tidak akan dibiarkan,” katanya di Facebook. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat Sheikh Omar Bagharib Ali berkata kejadian terbaru ini jelas menunjukkan ada pihak semakin berani mencabar sensitiviti agama dan keamanan rakyat. “Malaysia adalah negara yang dibina atas rasa hormat antara agama dan kaum. Perkara ini mesti dipertahan demi keamanan dan masa depan negara kita,” katanya. Hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang bekerjasama dengan pihak polis dan platform media sosial untuk menjejaki individu yang didakwa memuat naik gambar al-Quran dipijak dan diconteng dengan lukisan tidak senonoh. Menurutnya, hantaran asal di Facebook telah dipadamkan dan akaun yang bertanggungjawab, menggunakan nama ‘Dickie Borneo’, telah dikunci. Katanya lagi, SKMM turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.

Share this post: