TheMalaysiaTime

Pemimpin Bersatu gesa utama rakan dalam PN, bukan parti baharu Hamzah

2026-03-07 - 00:23

Ketua Bersatu Johor Dr Sahruddin Jamal berkata sewajarnya komponen mengutamakan rakan dalam Perikatan Nasional. PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu menggesa komponen Perikatan Nasional (PN) memberi keutamaan kepada rakan sedia ada dalam gabungan berbanding mempertimbangkan kemasukan parti baharu dikaitkan dengan Hamzah Zainudin. Ketua Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata ketika ini keutamaan PN seharusnya tertumpu kepada usaha mengukuhkan semula ukhuwah dan muafakat dalam kalangan komponen bagi mengembalikan kepercayaan rakyat serta penyokong. Dr Sahruddin Jamal. Katanya, PN dibentuk oleh Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), justeru hubungan dalam kalangan parti gabungan perlu diperkukuh terlebih dahulu. “Pandangan saya mudah, PN adalah gabungan Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP. Sewajarnya parti dalam gabungan mengutamakan rakan dalam PN. Apabila ukhuwah dan muafakat dalam gabungan itu kuat, maka kuatlah PN,” katanya kepada FMT. Terdahulu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menegaskan akan menolak jika Hamzah mahu menyertai PN menerusi parti baharu. Muhyiddin dilaporkan berkata, sukar untuk beliau meletakkan kepercayaan sekali lagi kepada Hamzah selepas merasakan dirinya ‘dikhianati’, sekali gus memerlukannya lebih berwaspada. Dalam pada itu, Sahruddin menggesa semua pihak dalam PN menghormati pandangan dan nasihat Muhyiddin berhubung pendiriannya menolak kerjasama dengan parti baharu bakal disertai bekas timbalan presiden Bersatu itu. Katanya, Muhyiddin sebelum ini juga telah ‘rela hati’ menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS demi kepentingan gabungan. “Jadi, hargailah perkara tersebut. Apa juga keputusan sama ada menerima atau menolak parti baharu itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat PN, namun Muhyiddin sudah pun menyatakan pendiriannya,” katanya. Azahari Hassan. Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan, yang dipecat Bersatu berpandangan masih terdapat ruang untuk parti baharu dikaitkan dengan Hamzah menyertai PN. Katanya, bagaimanapun keputusan akhir tetap terletak di tangan Majlis Tertinggi PN melalui undian majoriti. Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, pula berkata Muhyiddin tidak lagi boleh membuat keputusan secara bersendirian kerana Bersatu kini kehilangan sokongan majoriti dan hanya mempunyai enam Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Wan Saiful Wan Jan. “Amanah pun lebih besar daripada Bersatu di Dewan Rakyat. Malah, Ahli Parlimen bebas juga lebih ramai daripada kem Muhyiddin. Bersatu sudah roboh dan tidak lama lagi akan menjadi tidak relevan,” katanya yang turut dipecat parti itu. Selasa lalu, media melaporkan Hamzah dijangka menerajui Parti Keluarga Malaysia, dengan pengasasnya menyatakan usaha membuka laluan kepada beliau untuk memimpin parti tersebut kini hampir pasti. Hamzah mengesahkan terdapat perbincangan untuk beliau mengambil alih parti itu, namun keputusan muktamad masih belum dibuat. Ahli Parlimen Larut itu dipecat Bersatu ketika kemuncak pertelingkahan kepimpinan dengan Muhyiddin, yang digelarnya sebagai ‘musuh nombor satu’.

Share this post: