Pemilik syarikat miliki diesel tanpa lesen didenda RM150,000
2026-03-01 - 06:13
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu mengenakan denda RM150,000 kepada pemilik syarikat, Hasdi Mustapa, 45, kerana memiliki lebih 29,000 liter minyak diesel tanpa lesen sah. PETALING JAYA: Seorang pemilik syarikat didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 29,000 liter minyak diesel tanpa lesen sah kira-kira tiga tahun lalu. Keputusan dibuat Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli terhadap Orang Kena Saman (OKS), Hasdi Mustapa, 45, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan ke atasnya, menurut Sinar Harian. Beliau turut memerintahkan OKS dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Berdasarkan kertas pertuduhan, sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu premis di Lot 7731, Jalan Besar, Kampung Cacar, Paka kira-kira jam 3.30 pagi pada 6 Julai 2023. Hasil pemeriksaan menemukan sebuah lori tangki jenis Volvo bersama semi trailer dalam keadaan mencurigakan. Siasatan lanjut mendapati lima ruangan tangki semi trailer tersebut berisi cecair disyaki minyak diesel tanpa lak keselamatan, manakala kunci kenderaan ditinggalkan di dalam lori yang tidak berkunci. Semakan mendapati lori milik syarikat Fueller Logistics (KL) Sdn Bhd itu sepatutnya berada dalam keadaan kosong pada tarikh kejadian kerana tiada jadual penghantaran ditetapkan. OKS kemudiannya mengaku bahawa bekalan diesel tersebut adalah minyak bersubsidi yang dikutip dari beberapa stesen minyak di sekitar Paka dan Dungun untuk tujuan penyelewengan. Dia melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961. Selain hukuman denda, mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel berjumlah RM68,888.79 serta lori tangki tersebut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia. Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan dan Pegawai Pendakwa Nur Amirah Mokhtar mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zaiful Bahri Kamde.