Pemilik kedai diperintah bayar RM26,000 bil elektrik ‘kurang bayar’
2026-03-25 - 06:20
Hakim Noorhisham Jaafar memutuskan Choo Lee Chen bertanggungjawab sebagai pemilik unit, menyatakan beliau dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempunyai hubungan kontrak berkaitan bekalan elektrik. KLANG: Mahkamah Sesyen memerintahkan seorang pemilik kedai membayar RM26,000 kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) RM26,000 bagi bil elektrik yang ‘kurang dibayar’. TNB memfailkan saman terhadap Choo Lee Chen pada 2024 berhubung dakwaan penggunaan elektrik tidak normal, mendakwa ia berpunca daripada aktiviti perlombongan Bitcoin. Pegawai syarikat utiliti itu memeriksa kedai di Kota Bayu Emas Pendamar, Pelabuhan Klang, pada Julai 2020. Mereka mendapati meter telah diubahsuai, dengan pendawaian daripada isolator bekalan masuk memintas meter ke kotak pengagihan. Choo berkata beliau menyewakan kedainya kepada sebuah syarikat dan menjelaskan penyewa bertanggungjawab terhadap penggunaan elektrik. TNB bagaimanapun menuntut RM61,310.05 daripada Choo untuk bil elektrik yang kurang dibayar. Hakim Noorhisham Jaafar memutuskan TNB berhak memperoleh RM26,146.70 selepas pengiraan dijelaskan. Dalam penghakimannya, Noorhisham menegaskan Choo bertanggungjawab sebagai pemilik unit, menyatakan beliau dan TNB mempunyai hubungan kontrak berkaitan bekalan elektrik. “Sebagai prinsip umum, tanggungjawab kontrak dan statutori di bawah Akta Bekalan Elektrik terikat kepada pengguna berdaftar sehingga akaun dipindahkan atau ditamatkan secara sah,” tambahnya. Noorhisham turut menyatakan penyewa meninggalkan premis pada April 2019, kira-kira setahun sebelum TNB membuat pemeriksaan pada pertengahan 2020. “Penyewa lama atau wakil mereka tidak pernah dipanggil memberi keterangan, dan tiada dokumen dikemukakan ke mahkamah untuk mengesahkan perjanjian sewa selain daripada perjanjian yang tamat pada 2019,” katanya. Beliau menambah Choo tidak mengambil tindakan jelas terhadap syarikat tersebut selepas penyewa keluar. “Tiada laporan polis dibuat, tiada prosiding sivil dimulakan, dan tiada notis pelanggaran atau dokumen berkaitan lain dikemukakan. “Bagi saya, sikap tidak bertindak ini bercanggah dengan pendirian yang diambil sekarang dalam prosiding ini, terutamanya memandangkan premis telah dikembalikan lebih setahun sebelum pemeriksaan,” katanya.