TheMalaysiaTime

Pemilihan: Cubaan sulung Muda keluar bayangan Syed Saddiq

2026-03-14 - 01:33

Adakah Muda akan meletakkan kepercayaan kepada Amira Aisya Abdul Aziz (kiri), untuk membawa parti itu keluar daripada bayang-bayang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman? PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengadakan pemilihan sulung hari ini, dalam persaingan yang menurut sumber akan menguji sama ada parti itu mampu bergerak keluar daripada bayangan pengasasnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Seramai 125 perwakilan dijangka mengundi dengan 31 calon bertanding merebut 25 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti. Calon dipilih akan menentukan pembahagian jawatan kepimpinan tertinggi sesama mereka termasuk jawatan presiden yang konsep itu sama seperti dipraktikkan DAP. Beberapa calon yang enggan dinamakan berkata sudah wujud kesepakatan berhubung kewajaran mengangkat Pemangku Presiden Amira Aisya Abdul Aziz secara rasmi ke jawatan itu sekiranya beliau berjaya memenangi kerusi CEC. Namun, selain persoalan mengenai jawatan presiden, pemilihan itu dijangka menjadi penentu hala tuju baharu Muda, lebih-lebih lagi apabila Syed Saddiq tidak bertanding dalam pemilihan terbabit. Walaupun pemilihan sulung ini dianggap pencapaian penting dari segi prosedur parti, perhatian utama tertumpu kepada sama ada Muda mampu berubah daripada sebuah gerakan rapat dengan pengasasnya kepada organisasi politik mempunyai kepimpinan institusi serta identiti sendiri. Menurut beberapa calon, walaupun peranan Syed Saddiq dalam menubuhkan parti itu tidak dapat dinafikan, pemilihan itu memberi peluang penting untuk menunjukkan bahawa Muda tidak lagi berpusat kepada seorang individu sahaja. “Ada perkara baik apbila Syed Saddiq tidak bertanding. “Sudah tiba masanya parti ini keluar daripada bayang-bayang beliau dan membina kepimpinan sendiri,” kata seorang calon. Seorang lagi calon berkata pemilihan itu juga akan menguji sama ada Muda mampu berkembang menjadi parti dengan barisan kepimpinan yang lebih luas dan bukan sekadar dikenali melalui pengasasnya. “Selama ini parti sering dikaitkan dengan Syed Saddiq. Pemilihan ini peluang untuk menunjukkan Muda mempunyai ramai pemimpin berkebolehan dan mampu berdiri sendiri,” katanya. Sumber parti turut percaya pemilihan itu juga akan membantu memperkukuh proses dalaman Muda, selepas tertangguh lebih setahun sehingga mengundang kritikan daripada pemerhati politik. Jumlah calon yang tidak terlalu ramai turut menyebabkan ada ahli melihat pemilihan ini lebih kepada usaha membentuk struktur kepimpinan yang berfungsi, berbanding persaingan sengit antara calon. Muda diasaskan Syed Saddiq pada 2021 selepas beliau meninggalkan Bersatu, dan diposisikan sebagai gerakan reformasi yang dipacu golongan muda. Pada tahun yang sama, bekas menteri belia dan sukan itu didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah serta pengubahan wang haram. Dua tahun kemudian, beliau disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta. Bagaimanapun, pada Jun tahun lalu Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan membebaskannya. Rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan tersebut kini masih menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan. Dengan perbicaraan kesnya masih berjalan, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar selama dua penggal mengumumkan awal bulan ini bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan parti. Beliau berkata adalah tidak wajar untuk membiarkan perjalanan kes peribadinya, “walau setidak-tidaknya tidak adil”, menghalang kemajuan parti, sambil menegaskan kepimpinan Muda perlu kekal “lebih putih daripada putih”.

Share this post: