Pemberian kepada kerajaan negeri dijangka cecah RM10.5 bilion tahun ini
2026-03-05 - 10:23
PM Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan pemberian kepada kerajaan negeri penting untuk memperhebat pembangunan sosioekonomi dan prasarana kritikal agar semua rakyat dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. PUTRAJAYA: Majlis Kewangan Negara hari ini bersetuju meningkatkan pemberian kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri yang dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini, berbanding RM10.3 bilion pada 2025. Kementerian Kewangan memaklumkan, majlis turut bersetuju menambah baik pemberian kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri, khususnya Pemberian Senarai Bersama, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri dan agihan Cukai Pelancongan. Pemberian kerajaan persekutuan di bawah kerajaan Madani meningkat daripada RM8.1 bilion pada 2022 kepada RM10.3 bilion tahun lepas, tambahnya. “Peningkatan ini ialah rentetan kenaikan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (PMBO) bermula 2026 seperti yang digariskan oleh Kerajaan Madani,” menurut kementerian. “Bagi meningkatkan kemampanan aliran tunai kerajaan negeri, Majlis Kewangan Negara turut bersetuju dengan penambahbaikan mekanisme penyaluran di bawah Senarai Bersama.” Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan Madani komited menambah baik pemberian kerajaan persekutuan kepada semua kerajaan negeri setiap tahun demi manfaat seluruh rakyat, tanpa mengira negeri atau wilayah. “Seperti yang termaktub dalam kerangka Ekonomi Madani, limpahan hasil negara mesti diagih secara saksama dan bertunjangkan tatakelola baik,” katanya dalam kenyataan yang sama. Beliau berkata, kerajaan Madani sentiasa terbuka untuk bekerjasama erat dengan semua kerajaan negeri, tanpa mengambil kira pendirian politik. “Penambahbaikan pemberian ini penting untuk memperhebat pembangunan sosioekonomi dan prasarana kritikal agar kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagai satu negara,” katanya,