Pembantu MB Terengganu khuatir belia kurang sensitiviti agama
2026-02-26 - 12:24
Pegawai hal ehwal bukan Islam MB Terengganu, GK Balachandran berkata, usaha pupuk sikap saling menghormati sejak kecil kunci usaha pelihara perpaduan negara. PETALING JAYA: Seorang pembantu kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menyuarakan kebimbangan mengenai trend kurangnya kepekaan dan sikap menghormati agama dalam kalangan generasi muda di negara ini. Merujuk kes seorang mahasiswa yang didakwa memijak al-Quran, GK Balachandran berkata, insiden itu mencerminkan perlunya pendidikan berasaskan nilai yang lebih kukuh, bermula dari rumah. Pegawai hal ehwal bukan Islam Samsuri itu berkata, usaha memupuk sikap saling menghormati sejak kecil ialah kunci kepada usaha memelihara perpaduan negara, sambil menggesa ibu bapa agar memainkan peranan yang lebih aktif dalam menerapkan sensitiviti keagamaan dalam diri anak-anak mereka. “Ibu bapa mesti memainkan peranan yang lebih aktif dalam membimbing anak-anak mereka, menerapkan rasa hormat, empati dan pemahaman bahawa setiap agama berhak dihormati, tidak kira kepercayaan masing-masing. “Jika kita pupuk budaya saling menghormati sejak kecil, kita dapat memelihara keamanan, kestabilan dan perpaduan negara kita untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan. “Kita tidak boleh biarkan tindak-tanduk provokasi agama dan kebencian berterusan di Malaysia. Agama sewajarnya berfungsi sebaai pemangkin penyatuan, bukannya perpecahan.” Balachandran turut mengecam perbuatan pelajar tersebut, menyifatkannya sebagai keterlaluan, sangat menyinggung perasaan dan tidak boleh diterima di Malaysia. “Mencintai Tuhan bermakna saling menyayangi sesama manusia. Menghormati kepercayaan dan simbol suci agama lain ialah asas negara yang matang dan bertamadun.” Polis menahan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah itu yang disyaki menghina Islam di media sosial selepas sekeping gambar yang didakwa menunjukkan dia memijak al-Quran. Pelajar berusia 21 tahun itu ditahan reman sehingga 28 Feb bagi membantu siasatan atas kesalahan melukakan perasaan agama, menghasut dan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar. Pelajar tersebut bagaimanapun dilaporkan telah memohon maaf atas perbuatannya.