Pembangkang tolak usaha PM halang pegang kuasa terlalu lama
2026-03-03 - 04:43
RUU berkaitan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri gagal meraih sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Pembangkang yang tidak mengundi untuk menyokong rang undang-undang (RUU) berkaitan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri mencerminkan penolakan terhadap usaha Anwar Ibrahim menghalang pemegangan kuasa bagi suatu tempoh yang lama. Penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Syahruddin Awang Ahmad, berkata pengehadan tempoh jawatan sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang melangkaui kepentingan parti politik. “Sikap atau pendirian tidak menyokong ini hakikatnya menimbulkan persoalan mengenai tahap keterbukaan serta kesediaan pihak pembangkang dalam menerima perubahan yang bertujuan memperkukuh sistem demokrasi,” katanya kepada FMT. Pindaan Perlembagaan itu, yang dibentangkan sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026, mahu mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal, dan terpakai ke atas bekas perdana menteri, jika diluluskan Parlimen. Di sebalik sokongan pelbagai pihak, Dewan Rakyat bagaimanapun menyaksikan 44 wakil rakyat tidak mengundi manakala 32 lagi tidak hadir. RUU itu memerlukan sekurang-kurangnya 148 ahli Dewan Rakyat menyokong daripada 222 orang, namun menyaksikan ia kekurangan dua undi. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, menulis di Facebook lapan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan tidak hadir. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, kegagalan mendapat sokongan 2/3 ahli Dewan Rakyat mendedahkan jurang disiplin dalam kalangan mereka. Beliau berkata, ahli politik terbabit melaungkan reformasi dan perubahan dalam sistem negara, namun memilih untuk berkecuali atau tidak hadir ketika berpeluang mengehadkan kuasa perdana menteri.