TheMalaysiaTime

Pembangkang mohon sidang khas Parlimen bincang kesan konflik Timur Tengah

2026-03-27 - 06:50

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata sidang khas bolehkan semua Ahli Parlimen bincang secara menyeluruh kesan konflik termasuk impak terhadap ekonomi negara. PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mohon kerajaan memanggil satu sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan implikasi konflik di Timur Tengah terhadap ekonomi global dan kesan kepada negara. Hamzah berkata, beliau mengutuskan surat rasmi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi memohon pertimbangan supaya sidang khas dipanggil segera. Katanya, sidang khas itu penting bagi membolehkan semua Ahli Parlimen membincangkan secara menyeluruh kesan perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran termasuk impaknya terhadap ekonomi negara. “Permintaan ini mencerminkan komitmen dan harapan kami di blok bembangkang untuk bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan negara sentiasa siap siaga mendepani cabaran ekonomi semasa “...terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” kata Ahli Parlimen Larut dalam kenyataan. Beliau berkata, permohonan itu dibuat mengikut Perkara 11(3) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang membolehkan sidang khas dipanggil bagi membincangkan isu penting negara. Hamzah berkata, Ahli Parlimen blok pembangkang menerima pelbagai persoalan serta reaksi daripada rakyat susulan pengumuman dibuat oleh Anwar, semalam. Menurutnya, perkara dibangkitkan rakyat perlu dibincangkan secara konstruktif, dua hala dan telus dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh. “Perbincangan terbuka di Parlimen akan membantu memberi penjelasan kepada rakyat selain memastikan langkah kerajaan dapat diteliti secara menyeluruh oleh wakil rakyat,” katanya. Dalam surat bertarikh 26 Mac kepada Anwar, Hamzah turut menyatakan kebimbangan konflik di Asia Barat berpotensi menyebabkan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia dalam tempoh singkat. Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada pasaran tenaga global, malah boleh menjejaskan kedudukan fiskal negara serta keupayaan kerajaan menyalurkan subsidi dan bantuan kepada rakyat. Dalam perutusan khas semalam, perdana menteri menggariskan langkah strategik negara dalam menghadapi impak konflik di Asia Barat seperti jaminan bekalan minyak dan gas serta kesiapsiagaan bagi mendepani krisis tenaga global.

Share this post: