Pembangkang cadang jawatankuasa dwipartisan lantik, tamat khidmat pendakwa raya
2026-03-01 - 04:33
Hamzah Zainudin berkata pembangkang cadang beberapa tambah baik RUU pengasingan peranan peguam Negara dan pendakwa raya serta mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Pembangkang mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen bersifat dwipartisan bagi melantik atau pemberhentian pendakwa raya. Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dalam kenyataan, berkata mekanisme itu atau kaedah lain setara dari segi kebebasan, ketelusan dan keabsahan itu perlu untuk memastikannya bebas dari campur tangan. Menurutnya, jawatankuasa itu hendaklah mempunyai kedudukan dan autoriti setaraf dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) termasuk kuasa memanggil dan menghadapkan pendakwa raya atau peguam negara. “Ia terutama dalam prosiding tertentu yang menyentuh isu dasar pendakwaan serta pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang tanpa menjejaskan prosiding kes perundangan sedang berjalan. “Pembangkang turut menggesa pindaan perlembagaan ini turut mempertimbangkan peruntukan yang membolehkan semakan kehakiman terhadap keputusan berkaitan kuasa pendakwaan oleh pendakwa raya serta pelaksanaan fungsi peguam negara. “Ini selaras dengan prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya sambil menekankan dua cadangan itu untuk memastikan peguam negara dan pendakwa raya bebas campur tangan. Perkara itu antara cadangan tambah baik pembangkang berhubung Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan peranan peguam Negara dan pendakwa raya serta mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri. Berkait pindaan had tempoh perkhidmatan perdana menteri pula, Hamzah berkata kerajaan hendaklah memastikan hak telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak terjejas secara langsung atau tidak langsung. Tegasnya, sebarang pindaan mestilah tidak membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang perdana menteri di bawah Perkara 40(2)(a), dibaca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. “RUU yang membataskan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri hanya dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang tertentu hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu,” kata Ahli Parlimen Larut itu. Katanya, pembangkang juga kekal dengan pendirian perdana menteri tidak boleh memegang jawatan menteri kewangan dalam satu masa yang sama bagi memastikan pemusatan kuasa dapat diimbangi. “Secara dasarnya, pembangkang berpendirian langkah-langkah pembetulan institusi bagi memperkukuh amalan semak dan imbang tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan atau bersifat kosmetik. “Pembangkang mendesak kerajaan menambah baik perkara-perkara dalam RUU yang dicadangkan berasaskan prinsip pemisahan kuasa yang tulen, kebebasan institusi kehakiman dan pendakwaan, serta memelihara budi bicara Yang diPertuan Agong seperti diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.