Pemasangan CCTV fasa 2 di 333 sekolah asrama disegerakan
2026-03-14 - 14:14
Walaupun terdapat pelbagai penelitian teknikal dan undang-undang KPM beri jaminan pemasangan CCTV untuk 333 sekolah asrama tahun ini akan disegerakan. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyegerakan proses pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) fasa kedua melibatkan 333 sekolah asrama bawah kendaliannya tahun ini. Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, berkata inisiatif itu adalah kesinambungan daripada fasa pertama pada 2025, dengan pemasangan CCTV selesai dilaksanakan di 200 sekolah asrama KPM. Katanya, pelaksanaan fasa kedua kini di peringkat teknikal berikutan pemasangan peranti keselamatan itu tidak boleh dilakukan secara semberono, sebaliknya perlu mematuhi akta berkaitan privasi. “Di peringkat teknikal ini, kita (KPM) sedang mendapatkan pandangan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan pihak lain bagi memastikan hak dan privasi kanak-kanak sentiasa terpelihara. “KPM turut bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya bagi mendapatkan khidmat nasihat dari sudut teknikal berhubung tatacara pemasangan CCTV berkenaan di premis sekolah,” katanya menurut Bernama. Beliau ditemui selepas program Jaulah Ramadan Perdana Tahun 2026 KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, malam ini. Azam berkata, walaupun terdapat pelbagai penelitian teknikal dan undang-undang, kementerian memberi jaminan pemasangan untuk 333 sekolah asrama tahun ini akan disegerakan. Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata 200 sekolah berasrama bawah KPM di seluruh negara akan dilengkapi CCTV dalam masa terdekat dengan peruntukan RM3 juta bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar.