TheMalaysiaTime

Pemandu lawan arus langgar beberapa kenderaan ditahan

2026-02-27 - 23:14

Tangkap layar video tular menunjukkan sebuah kereta dipandu secara melawan arus di Jalan Dato Abu Bakar 16/1, Petaling Jaya, semalam. KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas memandu sebuah kereta melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Dato Abu Bakar 16/1, Petaling Jaya, semalam. Ketua Polis Petaling Jaya, Shamsudin Mat, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Petaling Jaya menerima laporan berhubung kejadian pada 1.15 tengah hari. Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 11.28 pagi itu membabitkan sebuah kereta jenis Honda CRV berwarna merah. “Kenderaan tersebut dipandu secara melawan arus sebelum terlibat kemalangan dengan beberapa kenderaan lain yang melalui jalan berkenaan. “Kesemua pemandu terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Honda CRV berkenaan berjaya ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini. Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Mohammad Najib Mohd Azaman melalui talian 012-3526147 bagi membantu siasatan.

Share this post: