TheMalaysiaTime

Pemakaian dengan taktik politik

2026-03-16 - 00:04

Saya terlihat satu klip video TikTok beberapa hari lalu. Video dihasilkan dengan kaedah teknologi AI. Tidak saya tahu siapa pembuatnya namun mesej si pembuat video nyata dan jelas. Video itu memaparkan dua karekter lelaki Melayu siap dengan lilitan di kepala ala tengkolok. Satu watak orang muda dan satu lagi watak orang sudah berumur, mereka berada di atas bahtera purba kala. Watak si Melayu muda menyeru: “Wahai Melayu jangan terpedaya politik licik Roket bertudung dan membaca potongan hadis”. Walaupun berlatar belakang zaman purba mesejnya kontemporari. Tak perlu perah otak kita tahu parti roket yang dimaksudkan DAP. Yang bertudung merujuk Hannah Yeoh. Yang baca potongan hadis dikaitkan dengan Nga Kor Ming. Mungkin juga Howard Lee pemimpin muda DAP. Watak Melayu tua dalam klip video itu pula menyambut lalu berkata: “Begitulah Singapura jatuh ke tangan mereka wahai Melayu”. Eh, bukan Perikatan yang ditunjangi parti Melayu, Umno, ke yang ‘serah’ Singapura kepada parti majorti Cina, PAP, 61 tahun lalu? Seperti dikatakan tadi, mesej si pembuat video jelas dan nyata iaitu mahu orang Melayu membenci lantas memusuhi DAP. Mesej begini bukan isu baru. Yeoh sering menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak kerana bertudung khususnya pada Ramadan. Sebagai menteri beliau banyak hadir majlis berbuka puasa, acara agihan zakat dan pelbagai aktiviti berkaitan Islam sepanjang Ramadan. Inilah yang si pembuat video sifatkan sebagai ‘politik licik Roket’. Kata Yeoh menerusi media sosial: “Masuk rumah ibadat semestinya ada adab dan saya selesa pakai selendang. Dipakai dikata sekadar wayang, tanpanya pula dituduh tak hormat.” Membawa saya kepada artikel tulisan ahli akademik, Khoo Ying Hooi, di Malay Mail bertajuk “Why do we care so much about what politicans wear?”. Kata beliau, public discussion berhubung Yeoh pakai tudung di majlis rasmi sekali lagi menunjukkan betapa pemakaian (dan saya tambah ketrampilan) dipolitikkan secara mendalam. Apa yang seharusnya suatu unremarkable moment dengan cepat dijadikan subjek perbincangan atas talian. Namun kata Khoo, reaksi yang timbul sebenarnya bukanlah semata-mata berkisar pakaian seorang ahli politik. Ia mencerminkan sesuatu yang lebih besar yakni “budaya politik kita sendiri di mana isu kaum, agama dan identiti simbolik masih kuat mencorakkan cara masyarakat melihat dan menilai sesuatu perkara,” menurut Khoo. Benar kata beliau. Kata Khoo lagi, di Malaysia untuk sekian lama politik dihubungkaitkan dengan persoalan identiti. Soal etnik dan agama bukan sekadar label sosial. Dalam banyak keadaan kedua-dua menjadi paksi utama yang membentuk wacana dan perbincangan politik. Sekali lagi betul kata beliau. Sesungguhnya ini sudah lama terjadi, dan sering dilakukan terang-terangan dan menonjol tanpa rasa bersalah. Saya petik tulisan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dalam bukunya “Mei 13 Sa-belum dan Sa-lepas” terbitan September 1969. Pada bab lima berjudul ‘Tipu helah kempen’, Tunku menceritakan bagaimana sentimen perkauman dimainkan ‘sehebat-hebatnya’ supaya timbul rasa benci rakyat khususnya orang Melayu terhadap Umno pimpinannya. Tunku menuding jari kepada PAS yang didakwa telah menuduh Umno pro-Cina dan menjual negara kepada masyarakat Cina. Kata Tunku, “Mereka menanamkan perasaan takut dan curiga di hati orang Melayu yang memang berhati bersih dan berpegang kuat kepada agama bahawa orang Cina hendak memegang kuasa seluruh Negara dan menuduh saya telah memberi peluang itu kepada orang Cina”. Rujuk muka surat 35 bab lima. Perlu dinyatakan Tunku menulis menggunakan ejaan lama sesuai zaman bukunya diterbitkan. Perhatikan sekali lagi kata-kata Tunku mengenai dakwaan konon orang Cina mahu menguasai negara dan Tunku sendiri dituduh memberi peluang kepada orang Cina untuk menguasai negara. Tidak boleh dinafikan dakwaan orang Cina mahu dan akan kuasai Malaysia masih diulang-ulangi pada zaman ini, dan pemimpin negara masa kini juga dilempar tuduhan sama yang dilemparkan kepada Tunku dulu. Taktik lama masih digunakan. Alive and kicking. Sungguh malang buat negara some things never changed. Atau cannot change? Kata Tunku lagi, pihak yang membuat tuduhan menyebar gambar seorang menteri iaitu Khir Johari dan isteri yang mengenakan pakaian maharaja China (pakaian orang China Mandarin, kata Tunku) ke kampung kampung seluruh negara. Ini konon bagi membuktikan apa yang mereka dakwa adalah benar yakni negara sudah dijual kepada orang Cina. Sebenarnya menurut Tunku, gambar itu diambil di Hong Kong. Khir dan isteri memakai kostum berkenaan secara bersuka suka untuk gambar digunakan sebagai kad ucapan Selamat Tahun Baru Cina. “Gambar ini telah diedarkan dengan seluas-luasnya dalam kalangan orang Melayu sambil mmburuk-burukkan Encik Khir dan menuduh dia telah jadi orang Cina. Dia (Khir) telah kehilangan banyak undi dalam pilihan raya itu (1969),” kata Tunku. Gambar itu ada dimuatkan dalam buku Tunku. Bagi Tunku, “ini satu sahaja contoh yang menunjukkan sejauh mana pihak PAS sanggup melakukan perbuatan-perbuatan kotor dan tipu helah untuk mencari kemenangan dalam politik.” Hakikatnya orang Melayu zaman itu yang Tunku sifatkan sebagai berhati bersih dan berpegang kuat kepada agama telah termakan taktik meniup sentimen agama dan bangsa, menggunakan kaedah zaman itu. Orang Melayu zaman ini rata-rata juga berpegang kuat pada agama dan bangsa. Persoalan: Adakah orang Melayu zaman ini (dan yang mendatang) akan juga termakan taktik sentimen ras dan agama, yang disebar menggunakan AI dan pelbagai teknologi canggih which can only get better? Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: