TheMalaysiaTime

Pemain skuad bola sepak wanita Iran tiba di Malaysia

2026-03-11 - 06:25

Skuad bola sepak wanita Iran ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi selepas menyertai kempen Piala Asia di Australia. (Gambar EPA Images) KUALA LUMPUR: Kedutaan Iran di Malaysia mengesahkan baki pemain skuad bola sepak wanita negara itu yang menyertai kempen Piala Asia di Australia tiba di Malaysia pada pagi tadi. Rakaman ketibaan pasukan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tular di media sosial pada awal hari ini. Menurut kedutaan berkenaan, pemain dijangka pulang ke Iran tertakluk kepada ketersediaan penerbangan dan pembukaan semula ruang udara negara itu. “Mereka mahu pulang ke tanah air,” menurut kedutaan itu kepada Bernama ketika dihubungi. Perkembangan itu menyusuli laporan bahawa tujuh lagi pemain skuad berkenaan memohon suaka di Australia dengan alasan bimbang menghadapi penganiayaan sekiranya pulang ke Iran selepas enggan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan pembukaan kejohanan pada 3 Mac lepas. Menurut laporan yang memetik Menteri Imigresen Australia Tony Burke, semua pemain itu dipindahkan ke lokasi selamat oleh polis Australia. Burke turut dilaporkan berkata baki pemain skuad berkenaan dimaklumkan bahawa mereka dialu-alukan untuk kekal di Australia. Semua pemain pada awalnya dijadual pulang ke tanah air selepas kejohanan itu, namun penyokong menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan mereka susulan keputusan pasukan itu untuk tidak menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan menentang Korea Selatan. Tindakan itu mencetuskan kritikan daripada beberapa pengulas di Iran, dengan seorang pengulas konservatif dilaporkan menuduh pasukan itu sebagai ‘pengkhianat masa perang’ serta menggesa hukuman berat dikenakan. Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei pada Selasa menggesa pemain berkenaan pulang ke tanah air. “Kepada pasukan bola sepak wanita Iran: jangan bimbang – Iran menanti anda dengan tangan terbuka,” tulisnya di platform X. Laporan berasingan menyatakan pemain itu kemudiannya menyanyikan dan memberi tabik hormat kepada lagu kebangsaan pada dua baki perlawanan mereka dalam kejohanan itu. Apabila ditanya mengenai keadaan dan kebajikan para pemain yang kini berada di Malaysia, kedutaan itu berkata: “Mereka dalam keadaan sangat baik dan sihat.” Menurut Kedutaan Malaysia di Tehran, pemegang pasport Iran yang melancong ke Malaysia menggunakan pasport mereka tidak memerlukan visa untuk memasuki Malaysia bagi tempoh tinggal tidak melebihi 14 hari. “Mereka yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan lain atau tinggal melebihi 14 hari perlu mendapatkan visa untuk memasuki Malaysia,” menurut kenyataan di laman sesawangnya.

Share this post: