TheMalaysiaTime

Peluang reformasi institusi yang terbazir

2026-03-27 - 01:20

Kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri di Dewan Rakyat, awal bulan ini tidak boleh dilihat sebagai satu kekalahan teknikal. Ia adalah satu peluang reformasi institusi yang terbazir hanya kerana kekurangan undi. Ya, kekurangan dua undi. Dalam sebuah demokrasi yang matang, kegagalan sebegini bukar sekadar angka. Ia mencerminkan sesuatu yang lebih mendalam iaitu keutamaan politik, tahap disiplin ahli-ahli Parlimen dan kesediaan untuk melaksanakan reformasi sepertimana yang sering dilaung-laungkan di luar Dewan. RUU ini gagal bukan kerana ketiadaan asas atau atas kelemahan prinsip. Tetapi kerana ketidakhadiran dan sikap berkecuali sebahagian Ahli Parlimen. Ini menimbulkan persoalan yang sukar dielakkan yang menyentuh komitmen terhadap reformasi institusi. Adakah ia hanya bersifat retorik atau hujah populis sahaja atau ianya benar-benar satu agenda yang ingin dilaksanakan? Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun muktamad bukanlah sesuatu yang radikal. Sebaliknya, ia selari dengan amalan demokrasi moden yang memperkenalkan had tempoh bagi ketua kerajaan sebagai satu mekanisme untuk mengelakkan penumpuan kuasa yang berpanjangan. Di negara seperti Amerika Syarikat, jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal. Manakala di benua Afrika, negara seperti Afrika Selatan turut mengehadkan tempoh jawatan presiden, dengan had tersebut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi dan mencegah penumpuan kuasa, termasuk dalam konteks pasca-apartheid. Di Asia Tenggara pula, Indonesia mengehadkan tempoh jawatan presidennya kepada dua penggal selepas reformasi politik pasca 1998. Walaupun struktur sistem berbeza, prinsip asasnya tetap sama iaitu memastikan kuasa tidak tertumpu terlalu lama pada seorang individu serta menggalakkan peralihan kepimpinan secara teratur. Prinsipnya mudah, institusi seharusnya lebih penting berbanding individu. Tanpa had tempoh, seorang pemimpin boleh kekal berkuasa terlalu lama sehingga berpotensi membina jaringan pengaruh melangkaui struktur yang formal. Ini termasuk pengaruh dalam parti, pentadbiran dan institusi negara yang akhirnya melemahkan mekanisma kebertanggungjawaban. Dalam keadaan demikian, kebergantungan kepada sokongan majoriti ahli-ahli Dewan mungkin tidak lagi memadai dalam memastikan proses semak dan imbang berfungsi dengan berkesan. Had tempoh sebagai syarat tambahan, bukan sekatan kuasa Semasa perbahasan, kebimbangan telah dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen tentang kemungkinan RUU ini boleh menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam melantik perdana menteri. Ada yang berpandangan bahawa mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri menyempitkan budi bicara baginda dalam menentukan siapa yang boleh dilantik sebagai ketua kerajaan. Hujah ini, walaupun penting, perlu dilihat dalam kerangka Perlembagaan yang sedia ada. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan beberapa syarat kelayakan bagi jawatan perdana menteri. Antaranya mestilah seorang Ahli Dewan Rakyat dan seorang warganegara Malaysia yang tidak memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi atau pendaftaran. Kriteria perdana menteri telah termaktub. Had tempoh perkhidmatan, dalam konteks ini, hanyalah satu syarat tambahan tersebut. Dengan kata lain, ia tidak menafikan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya ia beroperasi dalam lingkungan budi bicara yang sama. Baginda masih melantik sesiapa yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat, tetapi dalam kalangan individu yang memenuhi semua syarat yang ditetapkan. Tradisi Westminster bukan halangan reformasi Perbahasan juga menyentuh keserasian cadangan ini dengan tradisi sistem Westminster yang diamalkan oleh Malaysia. Ada yang berpendapat bahawa had tempoh bercanggah dengan prinsip bahawa perdana menteri boleh terus memegang jawatan selagi mengekalkan sokongan majoriti. Namun, sistem Westminster tidak pernah bersifat statik. Malaysia sendiri pernah meminda Perlembagaan untuk memperkenalkan undang-undang anti-lompat parti, walaupun dalam tradisi Westminster, sesebuah kerajaan boleh tumbang apabila perdana menteri kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat berdasarkan bilangan kerusi. Di United Kingdom sendiri, dari mana sistem ini berakar umbi, Constitutional Reform Act 2005 telah diperkenalkan yang mana mengubah struktur tradisional sistem Westminster dengan memisahkan fungsi kehakiman daripada Parlimen dan eksekutif, menamatkan amalan yang telah bertapak sejak berabad lamanya. Evolusi sistem Westminster juga pernah berlaku di negara Komanwel seperti Australia di mana jawatankuasa Parlimen diberi fungsi semak dan imbang terhadap dasar kerajaan yang lebih kukuh melalui penelitian rapi dan pemanggilan saksi. Mekanisme ini meningkatkan akauntabiliti eksekutif serta memastikan pentadbiran lebih telus dan bertanggungjawab kepada Parlimen, berbeza daripada model Westminster tradisional yang lebih berpusat kepada kabinet. Sehubungan itu, hakikat bahawa sesuatu mekanisme tidak wujud dalam bentuk asalnya tidak bermaksud ia tidak boleh diperkenalkan melalui pindaan yang sah. Reformasi institusi adalah proses kepada sistem yang sentiasa berkembang, bukan terikat sepenuhnya kepada tradisi sejarah semata-mata. Realiti politik kontemporari menunjukkan bahawa mekanisme semak dan imbang politik semata-mata tidak selalunya berfungsi seperti yang diandaikan secara teori. Seorang pemimpin yang kekal berkuasa terlalu lama berpotensi membina pengaruh politik dan institusi yang akhirnya melemahkan prinsip akauntabiliti sesebuah kerajaan. Kita sudah melihat ini berlaku sepanjang kemerdekaan negara ini. Antara reformasi simbolik dan perubahan struktur Walaupun kita mengakui reformasi institusi memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, menolak satu langkah reformasi hanya kerana ia tidak menyelesaikan semua masalah sekaligus juga bukan pendekatan yang produktif. Reformasi institusi lazimnya berlaku secara berperingkat dan berterusan. Setiap perubahan tetap mempunyai nilai. Yang lebih membimbangkan ialah bagaimana RUU ini akhirnya gagal kerana kekurangan hanya dua undi. Dalam konteks politik Parlimen, kegagalan sebegini jarang bersifat kebetulan. Ia mencerminkan sesuatu yang lebih mendalam iaitu ketidakhadiran, sikap berkecuali atau pengiraan politik jangka pendek yang mengatasi komitmen terhadap reformasi institusi. Kegagalan ini juga bukan satu kes terpencil. Cadangan reformasi lain seperti undang-undang pendanaan politik, yang telah lama dibincangkan tetapi masih belum direalisasikan, menunjukkan corak yang sama. Walaupun kepentingannya diakui secara meluas, reformasi yang menyentuh struktur kuasa sering tertangguh. Ini mencerminkan kekurangan kesediaan politik untuk melaksanakan perubahan yang benar-benar bermakna. Persoalan sebenar bukan lagi tentang merit cadangan tersebut. Perbahasan telah berlaku dan hujah telah dikemukakan. Sama ada kelas politik negara benar-benar bersedia untuk mengutamakan pembinaan institusi yang lebih kukuh daripada pertimbangan politik semasa, itu persoalan utama yang seharusnya ditanyakan oleh setiap pengundi berdaftar semasa kempen pilihanraya akan datang. Jika reformasi institusi benar-benar ingin dijadikan asas kepada kematangan demokrasi negara, maka episod ini seharusnya menjadi pengajaran penting. Reformasi tidak akan berlaku hanya melalui retorik atau manifesto semata-mata. Ia memerlukan disiplin politik, kehadiran di Dewan dan kesediaan untuk menyokong perubahan apabila saat penentuan tiba. Kegagalan ini mungkin hanya satu episod dalam rekod Parlimen. Namun, dalam sejarah reformasi institusi negara, ia akan dikenang sebagai satu peluang yang telah dibazirkan. Penulis adalah pengurus kanan penyelidikan IDEAS Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: