Pelancongan perubatan ‘halang’ pakar Malaysia berhijrah
2026-03-04 - 23:34
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata negara berdepan kekurangan kira-kira 11,000 pakar perubatan dalam pelbagai bidang. (Gambar Rawpixel) PETALING JAYA: Sistem penjagaan kesihatan Malaysia berada dalam tekanan akibat kekurangan doktor yang semakin serius khususnya pakar, namun ketika hospital awam bergelut untuk mengekalkan tenaga kerja mahir itu, pelancongan perubatan membantu memastikan sebahagian bakat terbaik negara terus berkhidmat di tanah air. Walaupun kerajaan berusaha memperkukuh tenaga kerja kesihatan awam, cabaran sistemik dan penghijrahan bakat yang berterusan terus mendorong doktor meninggalkan sektor awam dan, dalam sesetengah kes berhijrah ke luar negara. Bagaimanapun, peningkatan permintaan daripada pesakit antarabangsa di hospital swasta mewujudkan laluan alternatif bagi pakar yang mungkin sebaliknya turut meninggalkan negara ini. Tenaga kerja kesihatan dalam tekanan Ketika ini, hospital awam bergelut untuk mengisi jawatan asas, apatah lagi pakar. Jumlah pegawai perubatan siswazah merosot ketara daripada 6,136 pada 2019 kepada 3,271 pada 2023, manakala hanya kira-kira 5% kemudahan kesihatan awam dilaporkan mempunyai tenaga kerja mencukupi. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Thirunavukarasu Rajoo, memberitahu FMT kekurangan pakar dalam sektor awam kini semakin meruncing. “Kita berdepan kekurangan kira-kira 11,000 pakar perubatan,” katanya memaklumkan permintaan meningkat akibat populasi semakin menua dan beban penyakit kronik yang lebih tinggi. “Dalam sesetengah disiplin dan lokasi, jurangnya kini lebih besar berbanding beberapa tahun lalu.” Ketidakpuasan terhadap persekitaran kerja kekal menjadi punca utama. Waktu kerja yang panjang, gaji rendah berbanding kos pendidikan perubatan, dan peluang kemajuan kerjaya terhad mencetuskan kekecewaan khususnya dalam kalangan doktor muda. Menurut Rajoo, doktor meninggalkan sektor awam kerana pelbagai faktor. “Waktu kerja panjang, beban tugas berat, kemajuan kerjaya terhad dan ketidaktentuan dalam laluan latihan kepakaran menyumbang kepada masalah ini,” katanya, menambah ganjaran lebih baik dan keseimbangan kerja-kehidupan di tempat lain sering menjadi penentu. Tekanan ini semakin ketara dalam penyampaian perkhidmatan, menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengalih sebahagian pembedahan dan perkhidmatan diagnostik ke hospital swasta. Menurut CodeBlue Malaysia, tempoh menunggu bagi beberapa prosedur termasuk pembedahan ‘fistula arteriovenous’ dikurangkan sehingga 75%, manakala untuk imbasan MRI, ultrasound dan CT juga dipendekkan. Kebergantungan kepada kapasiti swasta ini menunjukkan kekangan berterusan dalam sistem awam. Mengapa sebahagian pakar kekal Walaupun ramai doktor merancang untuk mengambil kepakaran dan pulang selepas latihan di luar negara, kadar pengekalan masih tidak sekata. Antara 2021 hingga 2025 hanya 73 pakar kembali berkhidmat di tanah air, dengan hanya tiga menyertai semula kemudahan awam. Kebanyakannya memilih hospital swasta atau badan berkanun, yang mencerminkan prospek kerjaya jangka panjang lebih baik di situ. Namun, tidak semua pakar meninggalkan negara. Mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan perubatan Malaysia berkata permintaan antarabangsa mewujudkan peluang profesional yang jarang ada dalam sistem awam. Presiden Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia (Mita), Mint Leong, berkata pelancongan perubatan berkembang menjadi salah satu segmen pelancongan inbound paling penting di Malaysia sepanjang dekad lalu, didorong sebahagian besar oleh pelawat berulang dari negara jiran seperti Indonesia. “Ia bukan lagi segmen kecil. Pelancongan perubatan kini setanding dengan pelancongan santai sebagai tonggak utama perjalanan masuk,” katanya. Pesakit antarabangsa datang ke Malaysia untuk rawatan rutin dan khusus termasuk onkologi, kardiologi, penjagaan mata, perkhidmatan pergigian dan saringan kesihatan menyeluruh. “Malaysia terkenal dengan pemeriksaan kesihatan sehenti yang cekap. Pada masa sama, pesakit juga datang untuk rawatan jangka panjang yang memerlukan pemulihan dan susulan,” kata Leong. Bagi pakar, aliran kes yang pelbagai dan kompleks ini memberikan pendedahan klinikal, cabaran profesional dan pengiktirafan yang sebelum ini dipercayai hanya boleh dicapai di luar negara. Tarikan sektor swasta Sektor pelancongan kesihatan Malaysia pulih seiring pemulihan pelancongan santai, disokong oleh pengembangan hospital swasta dan permintaan semula terhadap pakej saringan serta rawatan. Pelancong perubatan juga cenderung berbelanja lebih dan tinggal lama berbanding pelancong santai, sering datang bersama ahli keluarga. Pesakit tidak memilih Malaysia semata-mata kerana faktor harga. “Ia berkaitan kepercayaan, kualiti dan nilai,” kata Leong, merujuk kepada asas sistem kesihatan negara yang kukuh, kemudahan moden dan doktor berpengalaman. Rajoo bagaimanapun mengingatkan manfaat ini turut membawa risiko. “Pelancongan perubatan boleh membantu mengekalkan pakar dengan menawarkan peluang profesional lebih baik, tetapi tanpa perlindungan sewajarnya, ia juga boleh menarik doktor keluar dari sektor awam, yang sudah pun mengalami kekurangan serius,” katanya. Beliau mengingatkan, pertumbuhan tanpa kawalan boleh melebarkan jurang antara penjagaan kesihatan awam dan swasta melainkan disertai pelaburan selari dalam tenaga kerja dan latihan sektor awam. Keseimbangan yang rapuh Pelancongan perubatan bukan penyelesaian kepada kekurangan doktor di Malaysia. Reformasi struktur tetap penting termasuk memperbaiki keadaan kerja, memperluas laluan latihan kepakaran dan memperkukuh perancangan tenaga kerja. Rajoo berkata, reformasi mesti melangkaui soal gaji, dengan menyediakan laluan kerjaya mampan dan sistem yang membolehkan doktor berkembang secara profesional sambil berkhidmat kepada rakyat. Namun, kesan pelancongan perubatan sukar diabaikan. “Lebih penting, ia membantu mengekalkan doktor dan pakar,” katanya, mengingatkan kelembapan industri boleh memberi kesan lebih daripada sekadar pendapatan pelancongan. Ketika ini, pelancongan perubatan kekal sebagai penampan tidak langsung yang membolehkan Malaysia mengekalkan ekosistem kepakaran sementara reformasi jangka panjang dilaksanakan.