Pelancongan perubatan gelombang ekonomi berganda yang kian meluas
2026-03-17 - 00:33
Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) menyasarkan peningkatan empat kali ganda hasil pelancongan perubatan kepada RM7 bilion menjelang 2030. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Apabila seorang pesakit asing mendapatkan rawatan di hospital di Malaysia, kesan ekonominya tidak terhenti di wad semata-mata. Limpahannya juga dinikmati hotel, kafe, perkhidmatan e-hailing seperti Grab, serta perbelanjaan membeli-belah. Dalam ekonomi pasca pandemik yang momentumnya masih dalam proses pemulihan, pelancongan perubatan muncul secara senyap sebagai faktor yang menstabilkan, dengan manfaatnya dirasai pelbagai sektor perniagaan di luar bidang kesihatan. Pada 2023, industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia menjana kira-kira RM2.25 bilion hasil. Angka itu meningkat kepada RM2.72 bilion pada tahun berikutnya, sebelum melepasi RM3 bilion pada tahun lalu. Namun, angka itu tidak mencerminkan sepenuhnya kesan sebenar pelancongan perubatan terhadap ekonomi. Dengan anggaran empat kali gandaan, pelancongan perubatan telah menyuntik antara RM10 bilion hingga RM12 bilion setahun dalam ekonomi negara sepanjang tiga tahun kebelakangan ini. Di situlh terletaknya gambaran sebenar industri ini. Pelawat dengan corak perbelanjaan berbeza Mint Leong dari Pertubuhan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) berkata pengunjung yang datang dari kategori itu bukan pelancong biasa. “Pelancong perubatan biasanya berbelanja lebih dan tinggal lebih lama berbanding pelancong biasa. “Mereka jarang datang bersendirian, sering ditemani ahli keluarga dan menggabungkan rawatan dengan aktiviti pelancongan, membeli-belah, makanan serta kesejahteraan,” katanya kepada FMT. Data pelancongan menyokong trend itu. Perbelanjaan pelawat banyak tertumpu kepada membeli-belah, diikuti penginapan serta makanan dan minuman, manakala kos rawatan menjadi asas kepada keseluruhan perbelanjaan mereka. Kesan pengganda ekonomi Lawatan seorang pelancong perubatan ke hospital lazimnya mencetuskan perbelanjaan merentas pelbagai sektor, termasuk perniagaan yang tidak berkait langsung dengan kesihatan. Angka rasmi kebanyakannya hanya merangkumi bil perubatan, sedangkan pesakit dan ahli keluarga turut membelanjakan wang untuk penginapan, pengangkutan, makanan, membeli-belah dan perkhidmatan lain — malah mengulangi perbelanjaan tersebut semasa lawatan susulan bagi rawatan lanjutan. Pada 2024, wilayah tengah menyumbang kira-kira RM1.14 bilion hasil perubatan, mewakili sekitar 42% daripada jumlah nasional. Bagaimanapun, pelancongan perubatan tidak tertumpu di wilayah tengah sahaja. Wilayah utara muncul sebagai destinasi utama dengan sumbangan 40%, diikuti wilayah selatan sebanyak 12%, manakala negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak menyumbang selebihnya. Kesan pengganda empat kali ganda serta taburan geografi ini penting kerana ia menyokong peluang pekerjaan merentas sektor, khususnya dalam peruncitan, perkhidmatan makanan, pengangkutan dan hospitaliti, sekali gus menyalurkan pendapatan ke ekonomi serantau. Seperti yang dinyatakan Leong, pelancongan perubatan telah berkembang daripada ‘segmen niche’ kepada ‘tonggak utama’ setanding pelancongan santai, yang menyokong keseluruhan ekosistem di luar hospital. Perspektif makroekonomi Pelancongan perubatan turut membantu meredakan kesan pemulihan sektor pelancongan Malaysia selepas Covid-19. Susulan pembukaan semula sempadan pada April 2022, permintaan tertangguh bagi rawatan perubatan mencetuskan lonjakan pelancongan kesihatan, melonjakkan hasil melebihi jangkaan pada 2022 dan menyumbang kepada pemulihan kukuh menjelang 2023. “Pelancongan perubatan pulih seiring dengan pelancongan santai selepas pandemik,” kata Leong. “Apabila ketibaan pelancong keseluruhan melepasi paras sebelum 2019, pelancongan perubatan menyumbang bahagian yang signifikan kepada pemulihan tersebut.” Dari sudut makroekonomi, ini penting kerana pelancong perubatan lazimnya berbelanja lebih tinggi dan kurang terjejas faktor bermusim berbanding pelancong massa. Mereka membantu menstabilkan hasil pelancongan, mengurangkan turun naik dan menyumbang kepada lebihan perkhidmatan yang lebih mampan. Kesan fiskal dan pengekalan bakat Pengkritik sering berhujah pelancongan perubatan hanya menguntungkan hospital swasta. Namun, pesakit asing sebenarnya merangkumi bahagian kecil daripada jumlah pesakit dalam hospital swasta, menunjukkan industri ini melengkapi — bukannya menyingkirkan — permintaan domestik. Ada juga kesan fiskal. seperti cukai dijana merentas hospital, hotel dan perniagaan perkhidmatan yang mengalir kembali ke belanjawan negara, sekali gus menyokong perkhidmatan awam termasuk penjagaan kesihatan awam. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Thirunavukarasu Rajoo mengakui pelancongan perubatan berperanan dalam mengekalkan bakat pakar di negara ini. “Pelancongan perubatan boleh membantu mengekalkan pakar di Malaysia dengan menawarkan peluang profesional dan pendapatan yang kompetitif,” katanya kepada FMT. Namun, beliau mengingatkan industri itu perlu diurus dengan berhati-hati bagi mengelakkan jurang ketidakseimbangan antara sektor kesihatan awam dan swasta. “Tanpa kawal selia yang baik, ada risiko pertumbuhan sektor swasta menarik pakar keluar dari hospital awam, sedangkan keperluan di sana lebih mendesak. “Apa yang diperlukan ialah pendekatan berstruktur dan dikawal selia dengan baik yang menyokong kedua-dua sistem,” katanya. Melihat gambaran lebih luas Pada 2024, pelancongan perubatan menyumbang RM2.72 bilion atau sekitar 0.14% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berjumlah RM1.9 trilion. Menjelang 2030, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) menyasarkan peningkatan hasil kepada RM7 bilion — sekali gus meningkatkan sumbangan industri ini kepada 0.26% daripada unjuran KDNK negara sekitar RM2.7 trilion, berdasarkan kadar pertumbuhan tahunan 5% seperti yang diunjurkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13. Dengan mengambil kira kesan penggandanya, pelancongan perubatan bukan sekadar nilai tambah mewah kepada ekonomi seperti yang sering disangka. Sebaliknya, ia menajadi enjin ekonomi senyap yang kian berkembang, menyokong peluang pekerjaan dan mengagihkan manfaat jauh melangkaui koridor hospital.