Pelancong Jerman mengaku tendang polis didenda RM3,000
2026-03-17 - 06:04
Tertuduh, Schlefsky Theresa, 34, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis. (Gambar fail) PETALING JAYA: Seorang wanita warga Jerman didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis, Januari lalu. Tertuduh, Schlefsky Theresa, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi, menurut Harian Metro. Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan cara menendang perut Nurfarhanah Mohd Johdi dengan niat menghalang anggota dari Balai Polis Central daripada menjalankan tugasnya secara sah. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai kopi di Daerah Timur Laut pada kira-kira 6.30 petang, 14 Januari lalu. Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam, K Sagana. K Sagana dalam rayuan memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya yang kini tidak bekerja melancong bersendirian ke Malaysia. Menurutnya, anak guamnya juga mempunyai sejarah penyakit skizofrenia sejak berusia 16 tahun dan perlu mengambil ubat secara berkala. “Tingkah laku tertuduh pada hari kejadian adalah impak daripada tidak mengambil ubat secara konsisten. Selepas keadaannya stabil dia sangat menyesal dan memohon maaf kepada mangsa dan pihak berkuasa. “Tertuduh juga berkata dia tidak berniat melanggar undang-undang di negara ini. Bapa dan kakaknya turut hadir dalam prosiding hari ini dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan ahli keluarga mereka,” katanya. Sagana kemudiannya memohon mahkamah mengenakan denda, dengan mengambil kira faktor kesihatan mental tertuduh Pihak pendakwaan pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.