Pelancaran pelan induk, tindakan JS-SEZ ditangguh
2026-03-17 - 12:51
JS-SEZ merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura bertujuan perkukuh integrasi ekonomi, tarik pelaburan baharu serta rangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan negara. (Gambar EPA Images) KUALA LUMPUR: Pelancaran pelan induk dan pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijadualkan pada 30 Mac ini di Johor Bahru, ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Ekonomi berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan hari ini. Pada 12 Mac lepas, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kementerian sedang memuktamadkan pelan induk dan pelan tindakan JS-SEZ, dengan pelan tindakan itu akan menjadi rujukan umum. Pelan induk yang lebih terperinci pula berfungsi sebagai panduan bagi semua pihak pelaksana dalam pembangunan zon ekonomi khas itu. Menurutnya, pelancaran pelan tindakan itu merupakan langkah penting bagi memperincikan hala tuju pembangunan JS-SEZ termasuk aspek strategi pelaburan, kerjasama ekonomi serta pelaksanaan projek di kawasan berkenaan. Menjadikan bandar Shenzhen sebagai contoh, JS-SEZ yang merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi, menarik pelaburan baharu serta merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah selatan negara. Zon ekonomi itu juga menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030, yang dijangka mengubah landskap ekonomi Johor secara menyeluruh selain beralih kepada ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi serta mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.