TheMalaysiaTime

Pelakon wanita, suami direman berkait kes tipu RM1.5 juta

2026-03-05 - 03:53

Pelakon wanita dan suaminya direman tiga hari selepas ditahan semalam untuk siasatan kes penipuan penjualan tanah. PETALING JAYA: Pelakon wanita dan suaminya direman tiga hari untuk membantu siasatan kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia membabitkan kerugian RM1.5 juta. Suami isteri itu ditahan di tempat persembunyian di sebuah madrasah tahfiz Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, semalam, dan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini untuk mendapatkan perintah reman. Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim, berkata susulan satu laporan diterima berkait kes penipuan dibuat di daerah itu, pihaknya menahan pasangan terbabit masing-masing berusia 40-an dan 30-an di tempat persembunyian mereka, lapor Harian Metro. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. “Polis juga meminta ruang siasatan yang telus dapat dijalankan dan orang awam dinasihatkan tidak mengganggu siasatan dengan mengeluarkan kenyataan di media sosial,” katanya. Mengulas kes itu, Azahar berkata, mangsa lelaki berusia 56 tahun adalah pesara yang sebelum ini menjalankan perniagaan pembangunan hartanah. Katanya, mangsa disyaki ditipu rakannya dalam urusan untuk mendapatkan tanah kurniaan kerajaan Selangor. “Pengadu menyatakan sebelum ini pada 21 Sept 2023 ditawarkan oleh seorang lelaki untuk mendapatkan beberapa lot tanah di Selangor yang terletak bawah mukim Cheras yang mana sebelum ini dijanjikan akan mendapat tanah berstatus kurniaan kerajaan Selangor. “Pengadu mula berurusan dengan suspek dan membuat beberapa kali transaksi,” katanya. Beliau berkata, suspek memberikan akaun bank bapanya serta akaun bank isterinya bagi menerima bayaran transaksi untuk proses mendapatkan lot tanah dijanjikan sebanyak RM1.5 juta.

Share this post: