Pelajar Tingkatan 5 jatuh bangunan sekolah tiada kaitan buli, jenayah
2026-03-03 - 06:23
Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berkata pelajar itu ditemui dalam keadaan terbaring di bawah bangunan blok A sejurus tamat perhimpunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria Jaya. PETALING JAYA: Kejadian seorang pelajar Tingkatan 5 cedera terjatuh dari bangunan sebuah sekolah Sungai Petani, semalam tiada kaitan unsur buli atau jenayah. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, pelajar terbabit ditemui pekerja pembersihan dalam keadaan terbaring di bawah bangunan blok A sejurus tamat perhimpunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria Jaya. “Siasatan awal mendapati tiada unsur buli atau jenayah dikesan setakat ini kerana tiada individu lain berada di kawasan atas blok berkenaan pada waktu kejadian memandangkan semua warga sekolah berada di tapak perhimpunan. “Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar,” katanya menurut Berita Harian. Berdasarkan semakan awal rakaman kamera litar tertutup (CCTV), katanya, pelajar itu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah. JPN Kedah berkata, siasatan awal mendapati ada dua kerusi di koridor tingkat tiga bangunan itu bersama beg pelajar yang diletak berhampiran dan disyaki digunakan untuk memanjat sebelum terjatuh. Menurutnya, pelajar itu yang cedera di beberapa bahagian, termasuk patah tangan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan pihak sekolah segera memaklumkan ibu bapanya. Katanya, ia memandang serius kejadian itu dan akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan polis. “Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang unsur buli atau jenayah di sekolah, sekiranya didapati berlaku.”