Pelajar kolej maut leher terkena bilas sabit di Teluk Intan
2026-03-09 - 23:24
Ketua Polis Hilir Perak, Dr Bakri Zainal Abidin berkata polis menahan dua lelaki warga asing bagi bantu siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan. IPOH: Seorang pelajar kolej maut akibat cedera parah selepas dipercayai terkena bilah sabit pada bahagian leher dalam satu kejadian di Teluk Intan semalam. Ketua Polis Hilir Perak, Bakri Zainal Abidin berkata lelaki berusia 18 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakan sekolej mangsa berusia 17 tahun kini dirawat akibat cedera pada tangan. “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa seorang lelaki menaiki motosikal terkena pada bahagian leher mangsa, yang ketika itu juga sedang menunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata berikutan kejadian itu, polis menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan, selain turut merampas sebilah sabit serta sebuah motosikal. Bakri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.