TheMalaysiaTime

Pelajar, kakitangan UIAM bimbang Bukit Aman panggil ahli akademik

2026-03-12 - 10:24

Syaza Shukri, bersama ahli akademik, pemimpin NGO, pakar dan pengulas lain, dipanggil oleh Bukit Aman pada Selasa untuk disoal berhubung kegiatan didakwa ‘mudaratkan demokrasi berparlimen’. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Pelajar dan kakitangan akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyuarakan kebimbangan selepas polis memanggil seorang ahli fakulti daripada jabatan sains politiknya untuk disoal pada Selasa. Dalam kenyataan hari ini, Persatuan Pelajar Sains Politik (Possa) berkata, Syaza Shukri dipanggil oleh Bukit Aman berhubung pandangan yang disuarakannya. Kumpulan itu berkata, kenyataan Syaza dibuat dengan niat yang baik dan mencerminkan kebebasan akademik cendekiawan Malaysia, serta kebebasan UIAM daripada campur tangan politik. FMT difahamkan bahawa Syaza dipanggil berkaitan dengan kenyataan yang dibuatnya dalam laporan berita yang diterbitkan pada Disember 2024. Syaza, seorang profesor madya di UIAM dan felo kanan pelawat di Institut Iseas–Yusof Ishak di Singapura, sering dipetik oleh media untuk analisis politiknya. Pihak polis memanggil beliau selepas turut memanggil Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Pushpan Murugiah ke Bukit Aman pada Selasa, berhubung siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu mengenai kegiatan yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen. Beberapa ahli akademik dan pengulas politik lain turut dilaporkan dipanggil. Possa mempersoalkan motif di sebalik tindakan polis itu, sambil menegaskan bahawa para sarjana tidak pernah berniat menjejaskan kestabilan negara atau berkomplot terhadap kepimpinan negara. “Possa teguh percaya bahawa sebarang komen mengenai perkembangan politik semasa, terutamanya mengenai pemimpin politik, tidak seharusnya dilihat sebagai kritikan yang memudaratkan demokrasi berparlimen kita,” katanya. Persatuan pelajar itu memberi amaran bahawa tindakan menakut-nakutkan ahli akademik boleh menjejaskan wacana intelektual Malaysia dan menghalang para sarjana membincangkan isu berkait kepentingan awam. “Possa menekankan bahawa kebebasan akademik menjadi asas kepada budaya intelektual dan demokratik yang sihat, memandangkan universiti dan sarjana memainkan peranan penting dalam menjana pengetahuan dan menawarkan perspektif kritikal untuk kebaikan negara,” katanya. Sementara itu, Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) universiti itu berkata, insiden itu boleh menetapkan duluan yang membimbangkan bagi kebebasan akademik dan autonomi intelektual. Katanya, para sarjana mesti mampu menangani isu masyarakat yang kompleks, termasuk perspektif yang mungkin mencabar dasar atau norma semasa. “Universiti mesti kekal sebagai tempat perlindungan untuk penelitian kritis terhadap idea, di mana kepakaran disambut dengan perdebatan intelektual, bukannya penelitian undang-undang,” katanya.

Share this post: