Pelajar IPT mengaku tak salah tuduhan cemar al-Quran
2026-03-03 - 02:33
Pelajar IPT S Vikneswaran mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencemarkan al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau di Mahkamah Sesyen Kuantan. Bernama melaporkan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), S Vikneswaran, 21, membuat pengakuan itu di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana memijak al-Quran dengan pengetahuan ia penghinaan terhadap Islam. Dia turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik melampau dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads. Seksyen 295 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya. Pada 25 Feb lalu, seorang pelajar UMPSA ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki memijak al-Quran serta memuat naik dan menyebarkan gambar berbuat demikian. Semalam, Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman dilaporkan, 82 laporan diterima di seluruh negara berhubung kes itu. BERITA LANJUT MENYUSUL