Pekerja butik jam tangan mewah berdepan 44 tuduhan ubah wang RM1.7 juta
2026-02-24 - 07:43
Miki Oshiro mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan tiga hakim berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR: Seorang penolong pengurus butik jam tangan mewah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 44 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM1.7 juta. Miki Oshiro, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Izralizam Sanusi, Azrul Darus dan Norma Ismail. Lelaki itu didakwa menerima RM1.7 juta daripada seorang wanita 61 tahun melalui 44 transaksi ke akaun banknya, sebelum memindahkan RM628,499 yang didakwa hasil aktiviti haram ke beberapa akaun bank individu lain dan syarikat. Transaksi itu didakwa dilakukan di dua bank di Damansara Utama, Petaling Jaya antara 5 Okt 2024 dan 3 Jan 2025. Miki didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM5 juta, mana lebih tinggi. Timbalan Pendakwa Raya, Izham Marzuki memohon mahkamah menghalang Miki menghubungi mana-mana saksi pendakwaan dan melaporkan diri di Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman sebulan sekali sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan ikat jamin RM105,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat dimohon pendakwaan. Sebutan kes ditetapkan pada 27 Feb ini.