Peguam tolak gesaan ‘tak berpelembagaan’ had PRN kepada parti tempatan
2026-03-08 - 01:04
Roger Chin tegaskan, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jamin kebebasan berpersatuan, termasuk hak tubuh dan sertai parti politik. PETALING JAYA: Pengamal undang-undang menolak cadangan mengehadkan PRN di Sabah dan Sarawak kepada hanya parti tempatan, menyifatkannya sebagai tidak boleh dilaksanakan kerana langkah sedemikian akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bekas presiden Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) Roger Chin menegaskan, Perkara 10 Perlembagaan menjamin kebebasan berpersatuan, termasuk hak menubuhkan dan menyertai parti politik. Justeru, katanya, langkah menghalang parti kebangsaan daripada bertanding pada PRN di Sabah dan Sarawak seolah-olah menyekat hak perlembagaan. Adun lantikan Sabah itu juga berkata, cadangan agar hanya ‘orang tempatan’ patut menentukan keputusan pilihan raya juga mungkin melanggar perlembagaan. “Perlembagaan tidak iktiraf kelas pengundi Malaysia yang berbeza. Apabila seorang rakyat Malaysia didaftarkan secara sah di sesuatu kawasan pilihan raya, undang-undang tidak membezakan antara rakyat Malaysia ‘tempatan’ dan ‘bukan tempatan’,” katanya kepada FMT. Bekas presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata, kebebasan berpersatuan, yang termaktub di bawah Perkara 10(c) perlembagaan, adalah sebahagian penting hak asasi yang dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Katanya, hak kebebasan berpersatuan ialah medium sistem demokrasi dan tidak sepatutnya disekat sewenang-wenangnya. “Kesan yang tidak dapat dielakkan sekiranya parti kebangsaan disekat bertanding pada PRN akan menyebabkan hak berpersatuan menjadi sekadar ilusi, melainkan ia dianggap perlu dan wajar demi kepentingan keterjaminan persekutuan,” katanya. Chin menambah, jika rakyat Malaysia Timur mahu parti tempatan mendominasi arena politik negeri, perlembagaan sudah pun menyediakan mekanismenya, iaitu peti undi. “Dalam sebuah sistem demokrasi, dominasi politik akhirnya harus ditentukan oleh pengundi, bukan dikuatkuasakan melalui sekatan undang-undang,” katanya. Pada Selasa, Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan bertanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk hanya membenarkan parti tempatan bertanding dalam kedua-dua PRN Sabah dan Sarawak. Bekas timbalan ketua menteri Sabah itu juga bertanya sama ada Putrajaya hanya akan membenarkan anak Sabah dan Sarawak untuk mengundi di sana bagi memelihara keharmonian dan persekutuan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menjawab, satu perubahan dasar yang besar akan diperlukan untuk membenarkan hanya parti tempatan sertai PRN. Dasar sedemikian, katanya, akan mempunyai implikasi terhadap perlembagaan, prinsip demokrasi dan kebebasan berpersatuan. Sekatan mudah dipintas, kata peguam Seorang lagi peguam, Andrew Khoo, meragui keberkesanan sekatan sedemikian, menyatakan bahawa ia boleh dipintas dengan mudah oleh mana-mana parti tempatan. Khoo, bekas pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang perlembagaan Majlis Peguam berkata, parti tempatan boleh ditubuhkan dengan agak mudah, dengan pemimpin, ahli, dan calon tempatan dalam pilihan raya. “Tetapi jika parti tempatan memilih untuk bersekutu dengan parti lain dari negeri lain, atau dengan parti kebangsaan, batasan sedemikian dengan mudahnya boleh diatasi,” katanya. Salim dan Chin kedua-duanya berkata, kerajaan pasti akan dicabar di mahkamah jika memperkenalkan sekatan sedemikian. Mana-mana perundangan atau dasar yang tidak berperlembagaan berisiko dibatalkan di mahkamah, tambahnya. Chin berkata, mana-mana parti politik yang dihalang daripada bertanding pada PRN di Sabah atau Sarawak besar kemungkinan akan mencabar undang-undang tersebut di mahkamah, berdasarkan prinsip kebebasan berpersatuan dan kesamarataan di sisi undang-undang. “Memandangkan implikasi perlembagaannya, semakan kehakiman mungkin tidak dapat dielakkan,” katanya.