TheMalaysiaTime

Peguam Indira dakwa penguatkuasaan BUDI95 tak konsisten

2026-03-24 - 06:00

Semalam, Kementerian Kewangan berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah guna subsidi di stesen minyak. PETALING JAYA: Peguam M Indira Gandhi mendakwa kerajaan tidak konsisten dalam pelaksanaan inisiatif BUDI95 kerana bekas suami wanita itu masih layak mendapat petrol bersubsidi di bawah program berkenaan. Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh berkata, Riduan Abdullah yang dahulunya dikenali K Pathmanathan, layak mendapat BUDI95 sekurang-kurangnya sejak November 2025, walaupun masih dikehendaki polis atas penculikan anak perempuan Indira, Prasana Diksa, secara tidak sah pada 2009. Mereka berkata, tindakan pantas pihak berkuasa menyekat MyKad pemilik kereta dirakam dalam video tular mengisi sejumlah besar RON95 bersubsidi, menunjukkan kerajaan mempunyai kuasa undang-undang dan keupayaan pentadbiran segera mengawal pangkalan data dihubungkan dengan sistem MyKad. Tetapi, menurutnya, semakan sistem subsidi BUDI95 pada 11.30 pagi tadi mendapati akaun Riduan masih aktif. “Perbandingan itu tidak dapat dielakkan,” kata mereka dalam kenyataan. “Kerajaan tidak boleh menunjukkan penguatkuasaan pentadbiran segera terhadap kawalan subsidi, tetapi pada masa sama membiarkan individu dikehendaki terus menikmati subsidi itu.” November lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan polis memperluaskan pencarian Riduan, yang dikenakan waran tangkap sejak 2018 atas kegagalan menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada Indira selepas tewas dalam perebutan hak penjagaan dan penukaran agama. Hakim Norsharidah Awang mengeluarkan arahan itu semasa mendengar afidavit tambahan difailkan Indira berhubung penggunaan bantuan BUDI95 dan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah oleh Riduan. Pada 2009, Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah. Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anaknya terbatal dan tidak sah, serta mengarahkan ketua polis negara menangkap Riduan kerana mengingkari arahan Mahkamah Tinggi untuk memulangkan anak perempuan bongsunya kepada Indira.

Share this post: